• newsatmy

10 kerusi DUN majoriti tipis tumpuan PRN Johor

13 Februari 2022

JOHOR BAHRU: Sebanyak 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka menjadi medan saingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac depan.


Ia susulan majoriti tipis sekitar 98 dan 877 undi yang dimenangi oleh penyandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas, sekali gus meningkatkan risiko kepada calon dan parti untuk mempertahankannya pada PRN Johor kali ini.


Enam daripada kerusi tersebut dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Buloh Kasap, Sungai Balang, Layang- layang, Machap, Kukup dan Parit Raja.

Empat lagi kerusi iaitu Senggarang (Amanah) Pemanis (PKR), Semerah (PKR) dan Paloh (DAP) dimiliki Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR ketika PRU14.


Dalam pada itu penyandang kerusi Semerah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat berdepan risiko untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi memandangkan majoriti dimiliki cukup tipis iaitu 98 undi.


DUN Semerah yang dimenangi wakil PKR Khuzzan Abu Bakar (12,619) berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Ismail Roslan (12,521 undi) dan calon Pas, Adnan Othman (4,314 undi).


Selain itu, kerusi dimenangi BN pada PRU14 iaitu Sungai Balang dan Layang- layang turut menarik perhatian apabila majoriti diperoleh hanya 174 undi (Sungai Balang) dan 364 undi (Layang-layang).


Kedua-dua penyandang kerusi DUN terbabit merupakan exco kerajaan negeri iaitu Zaiton Ismail (Sungai Balang) Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor manakala Datuk Onn Hafiz Ghazi (Layang-layang) merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor.


Sementara itu, kerusi Pemanis disandang oleh Dr Choong Fat Full yang juga Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor turut berdepan kesukaran susulan majoriti undi dimenangi pada PRU14 lepas hanya 363.


Fat Full yang sebelum ini merupakan ADUN PKR mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 22 Ogos 2020.


Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.


Pada 23 Januari, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14.


Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang iaitu PH, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.


Seterusnya, pada 9 Februari lalu SPR menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.


10 DUN majoriti tipis berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14):


1. N01 Buloh Kasap - majoriti 877 undi

BN- Zahari Sarip 9,186 undi

PKR- Norsamsu Mohd Yusof 8,309 undi


2.N16 Sungai Balang - majoriti 174 undi

BN -Zaiton Ismail 8,022

PKR- Na'im Jusri 7,848

Pas- Cikgu Haji Cheman Yusoh 3,146 undi


3.N24 Senggarang- majoriti 809 undi

PKR- Khairuddin A Rahim 10,508

BN- Zaidi Japar 9,756

Pas- Dr Mohd Ramli 2,699


4. N03 Pemanis - majoriti 363 undi

PKR-Dr Chong 8,304

BN- Koo Shaw Lee 7,941

Pas- Cikgu Mala 2,151


5. N17 Semerah - majoriti 98 undi

PKR- Khuzzan Abu Bakar 12,619

BN- Mohd Ismail Roslan 12,521

Pas- Ustaz Wan 4,314


6. N 26 Machap - majoriti 404 undi

BN- Abu Taib Abu Bakar 9,375

PKR- Hj Ahmad Ahem 8,971

Pas- Ustaz Haji Azlishan 1,630


7. N27 Layang-layang - majoriti 364 undi

BN -On Hafiz Ghazi 7,449

PKR - Cikgu Murugan 7,085

Pas- Hj Jubri 1,339


8. N30 Paloh -majoriti 783 undi

PKR- Sheikh Omar Ali 8,958

BN- Teoh Yah Kun 8,175

Bebas- M Shamugan 61


9. N22 Parit Raja - majoriti 638 undi

BN- Rashidah Ramli 9,549

PKR-Ferdaus Kayau 8,911

Pas- Cikgu Abdul Hadi Harun 3,106


10. N56 Kukup - majoriti 862 undi

BN- Datuk Md Othman Yusof 11,113

PKR- Suhaizan Kayat 10,251

Pas- Dr Karim Deraman 1,040