top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

11 lagi Sekor Ekonomi akan dibuka bagi Negeri PPN Fasa 2

15 Ogos 2021

Kerajaan juga bersetuju membenarkan 11 aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk kembali beroperasi di dalam Fasa 2 berkuatkuasa pada 16 Ogos 2021.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua 11 akiviti ekonomi ini adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.


Aktiviti-aktoiviti ekonomi tersebut adalah seperti berikut:


  1. Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi

  2. Kedai barangan terpakai

  3. Kedai bunga dan nurseri

  4. Kedai kraftangan dan cenderahati

  5. Kedai antik

  6. Kedai alat permainan

  7. Kedai permaidani

  8. Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif

  9. Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain)

  10. Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi

  11. Kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik)

Perdana Menteri berkata pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination).


Katanya lagi, ia bertujuan bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap, serta mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat.


Bagaimana pun, Perdana Menteri berkata, penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang yang diumumkan itu terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.


Selain itu, katanya lagi, individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan tersebut juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.


“Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.


“Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuatkuasa,” katanya lagi.


Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu (non-essential) dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos ini di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN.

Namun, katanya lagi, kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.


“Kerajaan faham, keputusan ini akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan.


"Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati.


“Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekali gus menyebabkan ramai hilang pekerjaan.


"Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan,” katanya lagi.


Kepada golongan majikan, Perdana Menteri berkata, Kerajaan amat berharap kemudahan yang diumumkan hari ini dapat merancakkan semula perusahaan masing-masing.


Beliau berkata, majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.


Pada masa yang sama, katanya lagi, majikan juga disarankan untuk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka.


Bagi golongan pekerja pula, Perdana Menteri meminta mereka melaporkan segera kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di cprc@moh.gov.my atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) di aduan.sop@moha@gov.my, atau Kementerian Sumber Manusia melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.


“Kuasa di tangan anda sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah.


“Di bawah Akta ini juga, KKM mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis. Saya difahamkan dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP,” katanya lagi.



--PN Online

bottom of page