top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

11 pos kawalan PGA Sabah dan Sarawak dinaik taraf ke balai polis

9 Disember 2021

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaik taraf fungsi 11 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak sebagai balai polis untuk memudahkan rakyat di kawasan pedalaman berurusan dengan pihak berkuasa.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebanyak 11 pos kawalan PGA itu dikenalpasti antaranya sembilan di Sabah dan dua di Sarawak.


"Perluasan fungsi PGA itu akan meningkatkan interaksi dan libat urus pihak berkuasa bersama penduduk setempat.


"Selain itu, ia dapat membantu dari aspek komunikasi strategik dan risikan pihak polis," katanya dalam ucapan majlis perasmian perluasan fungsi 11 pos kawalan PGA sebagai balai polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Isnin.


Hamzah berkata, penduduk di kawasan pedalaman berdepan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan polis kerana lokasi yang jauh.


"Fungsi pos kawalan PGA sebagai balai polis ini memberikan kemudahan kepada rakyat, ia juga berperanan mendaftarkan kelahiran serta laporan kematian dan data Jabatan Pendaftaran Negara dapat dikemaskini," katanya.


"Penduduk di Sabah dan Sarawak misalnya menghadapi kekangan dari segi kedudukan geografi serta jarak tempat tinggal yang agak jauh dari balai polis. Ketiadaan akses teknologi maklumat menyukarkan mereka mendapatkan akses kemudahan polis dengan pantas.


"Usaha menaik taraf pos kawalan PGA ini ternyata memudahkan penduduk pedalaman berurusan dengan polis dalam aspek tertentu," katanya.


Beliau berkata, sebanyak 14 laporan diterima oleh PDRM dalam tempoh dua minggu kesemua balai polis itu beroperasi.


"Kesemua 11 fungsi pos kawalan PGA sebagai balai ini adalah projek rintis yang akan dipantau selama enam bulan pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke 170 pos kawalan PGA di seluruh negara," katanya.





bottom of page