• newsatmy

139 kes positif COVID-19 Sekolah Seri Puteri stabil

2 Disember 2021

SHAH ALAM – Kes positif COVID-19 di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya kini sebanyak 139 kes melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata kesemua yang dikesan positif itu adalah hasil saringan yang dilakukan terhadap 946 individu di sekolah tersebut terdiri daripada 849 pelajar, 59 guru dan 38 petugas setakat 3 petang ini. “Kesemua kes positif itu dalam keadaan stabil dan semua mereka adalah kategori 1 dan 2A,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pesakit COVID-19 kategori 1 merujuk kepada mereka yang tiada bergejala langsung, kategori 2A mempunyai simptom ringan dan kategori 2B adalah bergejala ringan yang teruk dan akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC). Dr Sha’ari berkata kesemua kes positif itu akan dirujuk ke PKRC Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang manakala kontak rapat akan ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan. “Kes indeks merupakan seorang guru di sekolah tersebut. Beliau didapati bergejala pada 22 Nov lepas dan disahkan positif COVID-19 pada 24 Nov. “Hasil saringan kontak rapat telah mengesan tujuh lagi kes iaitu enam pelajar dan seorang lagi guru sebelum Kluster COVID-19 diumumkan sebagai Kluster Persiaran Tasik pada 29 Nov,” katanya. – BERNAMA