• admin

174 mangsa sindiket penipuan warga Malaysia masih terkandas di luar negara


KUALA LUMPUR,30 Sept: Seramai 110 mangsa yang diperdayakan sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan dan dibawa pulang, kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Saaduddin.


Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima dari 2021 sehingga hari ini, masih terdapat 174 mangsa sindiket berkenaan yang terkandas di luar negara.


“Bagi tempoh yang sama PDRM telah menerima 224 laporan melibatkan 284 mangsa daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa berkaitan rakyat tempatan yang diperdayakan oleh sindiket penipuan untuk bekerja di luar negara.


“PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Interpol (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa), Aseanapol (Polis ASEAN) untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada rakyat Malaysia di luar negara, selain turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini (30 Sep).


Sementara itu, Cik Noorsiah berkata PDRM menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menerima tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial, dan membuat semakan terlebih dahulu mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dengan Kementerian Luar Negeri.


“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.


Pada 20 Sep lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada.


Encik Ismail Sabri juga menegaskan kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.