• newsatmy

1MDB masih miliki hutang RM32.3 bilion

27 Mac 2021 KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih memiliki hutang yang perlu dijelaskan berjumlah RM32.3 bilion.


Dua daripada hutang berkenaan adalah bon denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion) dengan kadar kupon 5.75 peratus dan 5.99 peratus, yang akan matang pada 2022.


Manakala bon denominasi dolar AS berjumlah AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4 peratus pula akan matang pada 2023, demikian menurut Lembaga Pengarah 1MDB dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya, hutang terakhir 1MDB iaitu sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75 peratus akan matang pada 2039.


"Jumlah keseluruhan bon atau sukuk termasuk bayaran prinsipal serta kupon atau keuntungan yang perlu dibayar oleh 1MDB sehingga tarikh matang berjumlah RM40.51 bilion," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB adalah keutamaan kepada Lembaga Pengarah syarikat.


Bagi tujuan itu, katanya, Kementerian Kewangan telah menubuhkan Pasukan Khas yang dianggotai oleh wakil 1MDB, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional.


"Proses ini juga membabitkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.


"Yuran profesional penasihat undang-undang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terbabit, selaras dengan kadar yang sudah dirunding dan dipersetujui serta bukan berdasarkan komisen atau peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset diperoleh.

"Justeru, 1MDB akan meneruskan usaha mendapatkan semula aset bagi membolehkannya membayar balik kesemua bon atau sukuk apabila matang kelak," katanya.


Lembaga Pengarah 1MDB berkata, sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan Malaysia sudah menerima penyelesaian tunai bernilai AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs.


Katanya, jumlah berkenaan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Akaun Amanah) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

"Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, sudah atau akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah ini," katanya.


Baru-baru ini, 1MDB berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Bhd dan sejumlah RM324 juta lagi dengan Deloitte. -BH Online