top of page
newsatmy

1MDB: Perbicaraan ditangguh lagi, Najib masih alami hematoma

25 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini sekali lagi menangguhkan perbicaraan kes membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memandangkan Datuk Seri Najib Razak masih belum pulih daripada kesan pembedahan matanya.


Peguam utama bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah, anak guamnya masih mengalami bengkak dan kemerahan di mata.


Jelasnya, Najib telah dinasihatkan doktor yang bertanggungjawab untuk terus berehat di rumah hari ini dan perlu melakukan pemeriksaan susulan pada Rabu.


Muhammad Shafee: Yang Arif, doktor juga telah menasihati beliau untuk buat pemeriksaan susulan, biarpun esok adalah hari cuti umum (Hari Wesak).


Sequerah: Jadi tarikh hari ini dikosongkan, dan perbicaraan bersambung Khamis (27 Mei).

Pada Isnin, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa Najib menjalani pembedahan mata Khamis lalu (20 Mei) dan mengalami hematoma susulan rawatan itu.


Katanya, anak guamnya diberikan cuti sakit selama tujuh hari dan berharap Najib akan beransur sembuh.


Dalam pada itu, susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak sejak kebelakangan ini, Sequerah berkata perlu melihat kembali prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perbicaraan berlangsung.


Katanya, tindakan itu perlu bagi memelihara keselamatan semua pihak yang terlibat.

“SOP ini bukan untuk menyusahkan kita semua, tetapi ia penting bagi melindungi semua pihak, termasuk diri saya juga,” katanya lagi.


Beliau memutuskan hanya tiga peguam dari setiap pihak berada di meja-meja utama sementara yang selebihnya perlu berada di galeri awam.


Bagaimanapun, Sequerah berkata, untuk hari di mana Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk Seri Gopal Sri Ram hadir, beliau akan melihat semula keputusan itu memandangkan, Gopal memerlukan bantuan ketika perbicaraan.


Najib, 67 tahun, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.


-Astro Awani

Comments


bottom of page