top of page
newsatmy

2,826 individu ditahan terlibat sindiket 'love scam' sejak 2019 - Polis

5 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Seramai 2,826 individu telah ditahan terlibat dalam sindiket penipuan 'Love Scam' sepanjang tempoh 2019 sehingga Mac lepas, di seluruh negara.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata sepanjang tempoh tersebut juga terdapat trend peningkatan kes.


"Pada tahun 2019, sejumlah 1,535 kes dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM79,115,430.37 dan kes meningkat sebanyak 47 kes pada tahun lepas dengan jumlah kerugian dicatatkan sebanyak RM58,335,797.29.


"Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2021, jumlah kes dilaporkan sebanyak 549 kes dengan jumlah kerugian RM20,583,567.39 berbanding tempoh sama tahun lepas dan rekod ini menunjukkan peningkatan sebanyak 83 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata bagi mengekang kegiatan sindiket itu sejak 2019, sebanyak 2,251 operasi pembanterasan telah dilaksanakan.


Zainuddin berkata di sebalik operasi dan tangkapan yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak polis, rangkaian sindiket tersebut yang didalangi oleh warga Afrika dipercayai terus merekrut ahli baharu bagi memastikan kesinambungan kegiatan mereka.


"Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan ini komited untuk melipatgandakan usaha khususnya dari aspek siasatan dan operasi manakala masyarakat pula diseru agar menitikberatkan aspek pencegahan jenayah melalui ilmu pengetahuan, kewaspadaan dan sebagainya," katanya.


Zainuddin menasihatkan orang ramai agar tidak memberi pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali sekiranya diminta berbuat demikian oleh kenalan di laman sosial.


Semakan boleh dilakukan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule, muat turun aplikasi "SEMAK MULE CCID" atau hubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03- 2610 1559 / 03-2610 1599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial, katanya.


-- BERNAMA

Comentarios


bottom of page