top of page
  • newsatmy

203 ditahan kesalahan rentas daerah, negeri semalam - Ismail Sabri

14 Februari 2021

KUALA LUMPUR - Seramai 203 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran semalam, menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara kesalahan lain turut direkodkan termasuk tiada penjarakan fizikal membabitkan 167 individu, tidak memakai pelitup muka (117), keluar rumah tanpa alasan munasabah (84), gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (57) dan 22 ditahan atas kesalahan membawa penumpang berlebihan.

“Semalam, seramai 759 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 715 dikompaun dan 44 individu direman,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.


Pada masa sama, beliau berkata 36 pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala empat kenderaan darat disita.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan 6,118 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dengan dua daripadanya didapati positif COVID-19.

Katanya secara kumulatif, setakat ini Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 368,185 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dengan 7,198 daripadanya disahkan positif COVID-19.

-- BERNAMA

bottom of page