• newsatmy

25.8 peratus wanita kini dalam lembaga pengarah 100 PLC utama - 30% Club Malaysia

25 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Perwakilan wanita dalam lembaga pengarah di 100 syarikat senaraian awam (PLC) utama Malaysia kini sebanyak 25.8 peratus, menunjukkan lonjakan 82 peratus daripada angka pada 2015, kata Pengerusi Pengasas 30% Club Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar.


Bekas pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia itu berkata golongan wanita juga menduduki 17.2 peratus kerusi lembaga pengarah dalam kesemua PLC di negara ini.


"Pada 2015, hanya 14 peratus pengarah wanita dalam lembaga pengarah di 100 PLC utama di Malaysia dan 10.7 peratus pengarah wanita bagi keseluruhan PLC, justeru, pencapaian sekarang adalah usaha kita selama enam tahun," katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada perbincangan panel secara maya bertajuk 'Men-Who-Pause' anjuran 30% Club Malaysia pada Rabu.


Beliau berkata Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini yang menetapkan sasaran kepelbagaian gender bagi lembaga pengarah PLC pada 2012 namun ada syarikat dan PLC yang sama sekali tidak memulakan sebarang usaha untuk mengubahnya meskipun wujud gesaan daripada pihak pengawal selia dan pelabur.


Pada masa ini, sebanyak 255 PLC masih mempunyai ahli lembaga pengarah yang kesemuanya lelaki, iaitu lebih satu per empat daripada keseluruhan syarikat tersenarai dengan empat daripadanya merupakan 100 PLC utama, katanya.


Pada perbincangan panel itu, Pengarah Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Datuk Seri Ahmad Johan Mohammad Raslan berkata lembaga pengarah dan jabatan modal insan perlu bekerjasama mendorong serta menggalakkan wanita untuk meningkatkan kedudukan dalam korporat.


Beliau yang juga Mentor 30% Club Malaysia berkata penetapan 30 peratus eksekutif wanita dalam lembaga pengarah bertujuan memberi peluang saksama kepada wanita untuk mengatasi halangan kenaikan pangkat ke peringkat pengurusan atasan.


"Wanita juga perlu berusaha untuk kenaikan pangkat dan tidak mudah mengalah sepanjang melakukan usaha tersebut. Sentiasa tampil ke hadapan dalam kehidupan ini serta dapatkanlah bimbingan dan sokongan penuh supaya anda boleh dibimbing secara lebih baik," katanya.


Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat itu telah memulakan perancangan ekosistem yang membantu wanita meneruskan kemajuan melangkaui peringkat pengurusan yang lazimnya dikuasai oleh lelaki, hampir teknikal serta wujud kecenderungan atau berat sebelah dari segi operasi.


"Oleh itu, intervensi aktif dilakukan secara menyeluruh bagi menangani mereka yang mempunyai kecenderungan tersebut dalam visi ini, menggunakan kaedah bukan konvensional serta meletakkan mereka dalam situasi untuk mereka memainkan pelbagai peranan yang terbukti membuahkan hasil.


"Kami juga yakin dengan aspek kepelbagaian ini ketika kami dalam proses untuk berganjak ke arah industri tenaga yang seharusnya lebih berteraskan pelanggan dan memerlukan persekitaran kerja lebih kreatif serta progresif," katanya.


Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 27 peratus daripada 480,000 tenaga kerja Petronas adalah wanita dan 19 peratus daripada jawatan kepimpinan kanan, naib presiden dan selanjutnya juga diwakili golongan itu.


Sementara itu, CEO Digi.Com Bhd, Albern Murty pula berkata, pada masa ini golongan wanita membentuk lebih 40 peratus daripada ahli lembaga pengarah syarikat itu.


"Apabila menyentuh usaha mendapatkan calon tepat bagi jawatan atau peranan tertentu, cara terbaik adalah dengan melihat individu itu dari segi kebolehannya, bukannya jantina," katanya.


Pengurus Besar merangkap CEO Kumpulan HSBC Bank Malaysia Bhd, Stuart Milne berkata wanita mewakili 33 peratus daripada jawatan peringkat eksekutif kanan syarikat tersebut dan merupakan 54 peratus di peringkat pertengahan pengurusan.


"Kami tidak menetapkan sebarang sasaran gender di peringkat jawatankuasa eksekutif kerana hanya mahukan mereka yang terbaik bagi mengisi jawatan tersebut," katanya.


Malah, beliau menyifatkan wanita di Malaysia berada pada kedudukan 'yang amat kukuh' dalam kedudukan pengurusan kanan sepertimana mereka di China, Hong Kong dan Taiwan.


30% Club merupakan kempen global yang diterajui oleh pengerusi dan CEO bagi meningkatkan kepelbagaian gender di peringkat pembuat keputusan seperti lembaga pengarah dan pengurusan kanan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menduduki kerusi lembaga pengarah dan eksekutif kanan peringkat tertinggi.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.