• newsatmy

30 filem tempatan tunggu slot

21 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 filem tempatan yang 'terperam' sejak penularan COVID-19 tahun lalu, menanti slot tayangan di pawagam yang sudah beroperasi semula.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata Jawatankuasa Syarat Wajib Tayang akan membincangkan slot tayangan setiap judul termasuk pada cuti Aidilfitri, Mei depan.


"Setakat ini, ada kira-kira 30 filem berada dalam senarai menunggu untuk ditayangkan. Jawatankuasa Syarat Wajib Tayang akan putuskan.


"Mungkin filem tempatan hanya ditayangkan di pawagam pada Aidilfitri kelak," katanya kepada BH Online.


Ahmad Idham mengulas senario di mana lebih banyak filem asing bertaraf 'box office' ditayangkan di pawagam sejak beroperasi semula, manakala filem tempatan kurang dipertontonkan.


Ahmad Idham berkata, pengendali panggung wayang atau pemamer memerlukan suntikan wang untuk merancakkan perniagaan yang terhenti sejak setahun lalu.


"Justeru, mereka memerlukan filem 'blockbuster' asing untuk menjana ekonomi yang terjejas teruk hingga ada pawagam terpaksa gulung tikar.


"Filem asing adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 80 peratus. Apabila ekonomi pulih, penerbit filem tempatan juga mendapat tempiasnya.


"Difahamkan, ada banyak filem luar yang hebat-hebat sedang menanti untuk ditayangkan.


"Nasihat saya, kita beri laluan untuk filem ini ditayangkan terlebih dulu. Lagipun, tidak lama lagi, kita akan mula berpuasa," katanya.


Ahmad Idham berkata, mengikut pengalaman, filem tempatan berdepan risiko besar jika ditayangkan pada Ramadan.