top of page
  • cik skod

30 peratus calon wanita dalam PRU15, suara wanita suara penentu


PETALING JAYA, 17Ogos – Srikandi BERSATU akan berjuang bersama Wanita Perikatan Nasional (PN) di bawah satu payung dalam berdepan cabaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ketua Srikandi BERSATU Malaysia Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ketetapan itu bagi memperjuangkan isu-isu wanita dan ekonomi, kanak-kanak dan warga emas setelah memahami keadaan politik semasa ketika ini.

Malah, Rina berkata Srikandi BERSATU menaruh kepercayaan tinggi kepada pucuk pimpinan parti untuk memperuntukkan 30 peratus calon wanita sama ada di peringkat Parlimen atau DUN untuk PRU15.

“Ini cukup penting kerana suara wanita merupakan suara penentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, Rina mempengerusikan mesyuarat Exco Srikandi BERSATU Malaysia,

Dalam pada itu, Rina memaklumkan Srikandi BERSATU sentiasa bersiapsiaga untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa.

“Persidangan Cawangan dan Bahagian yang akan bermula pada 19 Ogos 2022 menjadi platform bagi SRIKANDI akar umbi seluruh negara untuk memperkasakan jentera bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.


Sementara itu, Rina menyeru kerajaan menyediakan akses, peluang dan platform yang lebih banyak kepada wanita dalam NGO hinggalah ke peringkat pembuat keputusan.

“Kami juga berharap belanjawan tahun depan dapat memberi peruntukan yang lebih besar untuk pembinaan kapasiti kepimpinan wanita dalam pembangunan Negara.

“Ini termasuk meningkatkan dana khas untuk NGO bagi melaksanakan program memperkasakan ekonomi wanita dan kebajikan dalam komuniti,” katanya.


Mengenai waktu bekerja secara fleksibel bagi golongan wanita dalam bidang pekerjaan yang relevan perlu dilaksanakan di negara ini, Rina menyarakan agar kerajaan memberikan perhatian.

“Ini bagi mengoptimumkan peranan dan sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan di samping terus komited menyeimbangkan tanggungjawab mereka sebagai seorang isteri dan ibu,” katanya.

bottom of page