top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

30 termasuk warga emas ditangkap berjudi di ladang kelapa sawit

26 Disember 2021

SIK: 30 individu termasuk sekumpulan warga emas sibuk berjudi di ladang kelapa sawit di Kampung Kalai, Mukim Jeniang, diberkas dalam serbuan di sini pada hari Krismas.


Dalam operasi Ops Dadu / Ops Krismas / Ops Tahun Baru yang bermula jam 3 petang itu, 30 individu yang ditahan terdiri daripada 27 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 74 tahun.


Turut ditahan ialah seorang penjawat awam berusia 50-an.


Polis percaya kegiatan perjudian di kawasan ladang kelapa sawit, yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama, telah berlaku sejak empat minggu lalu.


Operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah serta dibantu anggota Siasatan Jenayah Bahagian dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Sik.


Operasi itu turut disertai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar.


Antara yang ditahan ialah seorang kaki judi berusia 69 tahun dari Kubang Pasu yang membawa wang tunai RM20,000 bersamanya dan sebelum ini diberkas atas kesalahan sama di Kubang Pasu.


Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua 30 individu itu ditahan termasuk penganjur berusia 41 tahun dan tiga pembantunya berusia antara 19 dan 51 tahun kerana terbabit dalam perjudian haram.


“Rampasan wang tunai campur berjumlah RM727 manakala rampasan wang setiap suspek berjumlah RM72,875,” katanya sambil menambah, peralatan judi turut dirampas.


Kamarul Zaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

bottom of page