top of page
  • admin

4,067 pelajar,10 OKU mendaftar di UUM bagi sesi baharu


SINTOK, 11 Okt- Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 4,067 pelajar baharu bagi sesi 2022/2023 secara fizikal sepenuhnya bermula hari ini. Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 2,995 merupakan pelajar perempuan manakala selebihnya adalah pelajar lelaki. Jelas beliau, pelajar baharu berkenaan terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa. Pelajar-pelajar terbabit akan mengikuti 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda. "Seramai 3,960 pelajar baharu merupakan warganegara Malaysia manakala 205 lagi terdiri daripada pelajar antarabangsa. 2,236 (59.49%) pelajar baharu yang mendaftarkan diri pada hari ini terdiri daripada golongan B40," katanya dalam sidang media di sini.

(

Tambah beliau, sesi kali ini menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa sebanyak 13.97% berbanding tahun lalu. Bagi sesi akademik 2022/2023, UUM turut menawarkan program mobiliti kepada pelajar antarabangsa di peringkat Sarjana Muda. "Jumlah Purata Markah Keseluruhan (PMK) kemasukan calon pada tahun ini ialah sebanyak 3.56. Tiga program yang mencatatkan purata PMK kemasukan tertinggi 4.00 ialah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian," katanya lagi. UUM turut menerima kemasukan 10 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lapan pelajar Orang Asli. Setakat ini, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 33,658 orang iaitu 27,732 bagi peringkat pengajian Sarjana Muda dan 5,926 bagi pascasiswazah.

bottom of page