• newsatmy

5G Pemangkin pertumbuhan ekonomi negara

17 Mei 2021

Malaysia akan mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G setahun lebih awal iaitu pada suku keempat tahun 2021 berbanding dengan tahun 2022 yang diumumkan sebelum ini.


Pelaksanaan 5G akan dilaksanakan di lokaliti terpilih manakala pelaksanaannya di kawasan berkepadatan tinggi menjelang tahun 2023.


Untuk usaha demikian, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan telah ditubuhkan. SPV yang diberi nama Digital Nasional Berhad (DNB) dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menumpukan usaha melaksanakan rangkaian 5G.


Usaha ini adalah kunci agar pihak penyedia perkhidmatan sedia ada dapat meneruskan usaha pelaksanaan gentian optik serta memperbaiki liputan dan kualiti 4G.


Beban 5G tidak terletak pada pihak penyedia perkhidmatan dan pada masa sama, memastikan risiko jurang digital berada tahap minimum sepanjang pelaksanaan rangkaian 5G dengan penerusan pelaksanaan gentian optik dan rangkaian 4G.


Selain itu, akan ada pembabitan sektor swasta yang akan diperjelaskan dengan lebih menyeluruh oleh DNB tidak lama lagi. Spektrum disediakan kepada DNB akan membina rangkaian dan menawarkan kapasiti secara borong.


Model bukan bidaan yang diterima pakai adalah sebahagian daripada usaha untuk tidak meletakkan beban kos kepada rangkaian baharu, selain memastikan bahawa elemen rangkaian sedia ada akan digunakan dan DNB hanya akan membuat elemen rangkaian yang baharu.


DNB akan menawarkan perkhidmatan secara borong secara telus dan dikawal selia.


Penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan runcit akan mempunyai akses yang terbuka, saksama dan setara kepada rangkaian baharu.


Ini adalah petunjuk kukuh ke arah pengurangan persaingan berasaskan infrastruktur dan mempertingkatkan persaingan berasaskan perkhidmatan.


Ini bukan sahaja akan memanfaatkan pengguna tetapi juga mengurangkan aliran keluaran asing terutamanya untuk peralatan baharu jika terdapat pelbagai pemain yang membina rangkaian.


Penyedia perkhidmatan runcit boleh melabur dalam perkhidmatan lebih inovatif, yang akan membantu mereka menjana pendapatan lebih baik sementara pengguna dapat menggunakan perkhidmatan baharu untuk menjana lebih banyak ekonomi yang berkaitan dengan digital.


Projek Demonstrasi 5G (5GDP)


Pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G atau 5GDP oleh MCMC bertindak sebagai pemangkin dalam memupuk perkembangan ekosistem 5G secara holistik dan inklusif yang berupaya merangsang permintaan serta penerapan awal 5G di negara ini.


Pada penghujung tahun 2020, Malaysia berjaya mendemonstrasikan 71 kes kegunaan dengan jumlah pelaburan bernilai RM131 juta di 50 tapak stesen pangkalan 5G yang terdiri daripada sembilan sektor industri iaitu bandar pintar, hiburan/media, minyak dan gas, pelancongan, pembuatan dan pemprosesan, pendidikan, pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan digital, pertanian.


Kes kegunaan ini telah dilaksanakan di tujuh negeri, iaitu Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Inisiatif ini dijalankan melalui pendekatan kolaboratif pihak-pihak berkepentingan termasuklah rakan strategik industri dan pelbagai kementerian dengan membina ekosistem 5G yang komprehensif dikembangkan melalui pelbagai pendekatan baharu, termasuk perkongsian rangkaian dan infrastruktur antara penyedia perkhidmatan, semakan dasar, usaha sama penyelidikan dan banyak lagi.


-Berita Harian