top of page
  • Farah

69 aduan buli sejak minggu lalu – KPM


SUNGAI SIPUT, 26 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 69 aduan berkaitan buli sejak portal aduan buli dilancarkan minggu lalu.


Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, jumlah kes yang dilaporkan itu membuktikan keberkesanan portal berkenaan dalam usaha pihak kementerian untuk mengatasi kes buli di sekolah.


“Menerusi portal ini, terdapat aduan yang sudah diambil tindakan dan ada (aduan) yang masih dalam siasatan.


“Sebanyak 28 aduan diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) dengan satu daripadanya sudah diselesaikan.


“Selain itu, terdapat dua pertanyaan melalui emel, tujuh panggilan pertanyaan melalui talian tetap, 10 panggilan pertanyaan melalui telefon, 20 pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp dan dua aduan menerusi WhatsApp,” katanya selepas menghadiri Wacana Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli (OAOSC) di sini, khamis



Radzi berkata, kewujudan portal itu juga dilihat dapat memberi ruang keselesaan kepada ibu bapa untuk menyampaikan aduan secara terus kepada pihak kementerian.


“Sebelum ini ada ibu bapa yang memaklumkan mereka kurang selesa mahu melaporkan kepada sekolah, selain mendakwa mungkin pihak sekolah akan menyembunyikan aduan yang diterima dan tidak mengambil tindakan susulan.


“Sehubungan itu, KPM mengambil pendekatan mewujudkan SISPA kepada ibu bapa dan mereka boleh melaporkan aduan sama ada melalui emel, telefon atau WhatsApp.


“Paling penting sistem portal ini merahsiakan maklumat yang diperoleh, sekali gus tidak memberi tekanan kepada pelajar. Apabila kita terima aduan itu kita akan buat penelitian yang mendalam untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Beliau berkata, kementerian itu juga tidak menetapkan tempoh tertentu untuk sesuatu kes diselesaikan bagi memastikan ia dapat diatasi secara tuntas.


“Apabila kita mendapat aduan kes buli, ada kes yang ‘straight forward’, ada kes memerlukan siasatan mendalam dan ada yang membabitkan polis. Jadi kita tak boleh nak kata berapa tempoh masa untuk menyelesaikan sesuatu kes,” katanya.


Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.


Saluran berkenaan adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), emel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan SISPA KPM yang tersedia di portal aduan itu.

bottom of page