top of page
  • Writer's pictureNihaba

7 kesatuan gesa kerajaan tangani isu kenaikan harga bahan binaan

14 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera dalam menangani kenaikan mendadak harga bahan binaan bagi mengelakkan impak yang lebih buruk kepada sektor pembinaan dan bangunan serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Perkara itu disuarakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini oleh Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Wibawa (GBC Wibawa), Persatuan Kontraktor Malaysia Bersatu (UMCA) dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).


Menurut kenyataan itu, kenaikan harga itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kos menjalankan perniagaan yang meningkat antara 13 hingga 20% dari segi kos pembinaan dan beberapa barangan juga mengalami kenaikan drastik. Katanya, ia juga termasuk harga keluli ringan, yang meningkat sehingga 41% dan pasir turut meningkat sehingga 20% sejak Oktober 2020.

"Situasi sedemikian meletakkan margin keuntungan syarikat yang sudah mengalami kekurangan (jika ada), di bawah tekanan.


"Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama yang mempengaruhi kenaikan harga ini disebabkan kos bahan mentah yang melonjak, kekurangan tenaga buruh di dalam negara, kenaikan kos logistik, kenaikan harga minyak mentah dan tenaga.

"Kami amat bimbang, jika isu ini tidak diberi perhatian sewajarnya, akan menyebabkan industri terjejas teruk dan memberi kesan kepada sektor dan juga ekonomi negara," tegasnya.

Kenyataan tersebut turut mengesyorkan 4 cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Kerajaan digesa supaya menjalankan pemantauan berterusan dan penguatkuasaan yang perlu untuk memastikan tiada pencatutan serta anti-persaingan dalam keseluruhan rantaian bekalan industri.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mempercepatkan kemasukan pekerja asing bagi mengurangkan masalah kekurangan pekerja yang dihadapi ketika ini.

"Klausa variasi harga (VOP) dalam kontrak bagi projek kerajaan perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya 12 bulan lagi, kerana kami menjangkakan ketidaktentuan harga ini akan berterusan selepas 31 Disember 2021.

"Bagi projek swasta pula, kerajaan perlu menggalakkan pemilik projek untuk memperkenalkan VOP bagi kontrak mereka," jelasnya.

Malah, kenyataan itu juga berharap langkah segera dapat diambil bagi menangani kenaikan kos bahan binaan ini bagi mengelakkan projek mengalami kerugian dan masalah aliran tunai sekiranya dibiarkan berlarutan.

"Pemaju mungkin tidak mempunyai pilihan selain memasukkan kos tambahan ini dalam harga rumah yang lebih tinggi, dan akhirnya membebankan rakyat.

"Bagi kontraktor yang tidak dapat menyerap kos tambahan ini pula mungkin terpaksa menghentikan kerja-kerja mereka," katanya.


*Berita asal di DagangNews.com/Astro Awani

bottom of page