• newsatmy

70 rumah rosak akibat ribut di Kuantan

26 Mac 2021

KUANTAN: Sebanyak 70 rumah di kawasan Kampung Balok dan Taman Balok Baru di sini rosak akibat dilanda ribut dan hujan lebat petang semalam.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan Kapten (PA) Zaubidah Said berkata kejadian berlaku antara 5 petang hingga 7 malam dengan kesemua rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung susulan angin kencang.


"Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.


Beliau berkata APM turut menghulurkan bantuan kit makanan kepada keluarga yang terjejas.

Katanya susulan bencana banjir pula, seramai 57 mangsa daripada 13 keluarga semalam dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan KRT Taman Murni Sungai Isap setakat 10.50 malam.


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan di tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.


Laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan tiga sungai di Pahang kini berada di paras amaran dengan dua di Kuantan iaitu Sungai Belat di Sri Damai dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi selain Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.