• newsatmy

75% pengusaha bas tak mohon penstrukturan semula pinjaman

28 Mac 2021 KUALA TERENGGANU: Pengusaha bas yang terbeban dengan pembiayaan bas dan hutang sewaan susulan penularan Covid-19 digesa segera memohon penstrukturan semula pembayaran ansuran daripada institusi perbankan dan syarikat kredit mereka.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, sejak Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 bagi membantu golongan terkesan dengan Covid-19 diwartakan Disember lalu, hanya 25% atau 267 pengusaha bas memohon penstrukturan semula itu.


“Terdapat lebih 1,000 syarikat pengusaha bas di seluruh negara, namun jumlah yang memohon penstrukturan semula ini tidak sampai 30%. Hasil analisis mendapati 75% syarikat pengusaha bas belum membuat permohonan tersebut.


“Jumlah ini cukup rendah jika dibandingkan masalah yang mereka hadapi. Jadi, kita berharap mereka (pengusaha bas) yang bermasalah ini datang berbincang dengan institusi perbankan atau syarikat kredit,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pengusaha Bas Anak Terengganu.


Katanya, daripada 267 pengusaha bas yang memohon penstrukturan semula itu, 195 mendapat kelulusan dan baki 74 syarikat gagal disebabkan pelbagai faktor, seperti mempunyai hutang tertunggak yang tinggi sebelum ini.


Dalam pada itu, Rosol berkata, persatuan pengusaha bas seluruh negara perlu memainkan peranan penting menguar-uarkan kemudahan penstrukturan bayaran ansuran itu agar lebih ramai pengusaha bas dapat menikmati bantuan yang diusahakan kerajaan berkenaan.


Katanya, kerajaan melalui kementerian lain turut memainkan peranan masing-masing untuk membantu golongan berkenaan, antaranya melalui Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, kelonggaran syarat peminjam, pemberian pengecualian 50% daripada semua caj faedah dan pembayaran serta mewujudkan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC).


Selain itu, katanya, penstrukturan semula itu juga bertujuan mengelakkan pemilikan semula kenderaan mereka oleh institusi perbankan dan syarikat kredit apabila pembayaran ansuran tidak dibuat. -FMT