top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

764 kes pelbagai kesalahan langgar SOP PPN sejak 1 Jun

21 September 2021

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 764 kes pelbagai kesalahan sepanjang pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lepas.


Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa terhadap 228,223 premis perniagaan di seluruh negara.


“Sebanyak RM3.67 juta nilai kompaun telah dikeluarkan setakat ini. Lebih 2,000 penguat kuasa kementerian terlibat dalam pemeriksaan ini dan antara kaedah yang digunakan ialah melalui penyamaran sebagai pelanggan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Daripada 764 kes itu, sebanyak 323 kesalahan adalah gagal mendaftar masuk menggunakan buku/aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan (130 kes), gagal menyediakan penanda jarak satu meter (61 kes), gagal memakai pelitup muka (46 kes), gagal mempamer had bilangan maksimum pelanggan (27 kes), gagal mematuhi waktu operasi (lima kes) dan lain-lain kesalahan (172 kes).


Selain itu, Rosol berkata penguat kuasa kementerian yang mendapat penurunan kuasa di bawah Akta 342 oleh Kementerian Kesihatan juga agresif turun ke lapangan setiap hari bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan pemain sektor perniagaan dan peruncitan serta pengguna.


Beliau berkata pihaknya ada menerima aduan mengenai tindakan segelintir peniaga terutama pengusaha restoran dan kedai makan yang dikatakan mengabaikan semakan terhadap status vaksinasi pelanggan yang mahu makan di premis dan situasi itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan.


“Ada aduan secara peribadi kepada saya yang menyatakan ada premis makanan yang tidak membuat semakan terhadap status vaksinasi pelanggan, malah ada yang sambil lewa sama ada pelanggan daftar masuk melalui aplikasi MySejahtera atau tidak.


“Kementerian mengambil serius laporan ini dan kita mahu pastikan peniaga dan orang ramai patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ini penting kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesihatan orang ramai, selain tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi SOP ditetapkan selepas kelonggaran untuk ‘dine-in’ diberikan kerajaan,” katanya.

bottom of page