top of page
  • admin

87 pertuduhan di mahkamah, Zahid mahu UMNO-BN menang PRU15 bentuk kerajaan


TASEK GELUGOR, 17 Okt – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri membubarkan Parlimen segera agar UMNO-BN boleh menang bentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Muhyiddin menganggap Ismail Sabri terpaksa mengikut arahan ketuanya dan jika tidak, beliau mungkin akan dipecat dan digantung jawatan.


“Saya fikir Ismail Sabri tak nak adakan pilihan raya. Yang desak dia untuk bubar ini, siapa? Wak Jahid. Dia desak Perdana Menteri supaya cepat-cepat bubar Parlimen. Tuan-Tuan tahu tak kenapa?


“Antara PM dan Zahid, siapa lagi besar? Tentulah Zahid (Presiden UMNO). Kalau Perdana Menteri kata tak setuju bubar Parlimen, agak-agak apa dia (Zahid) buat? Boleh jadi PM dipecat, boleh jadi digantung jawatan. Orang yang macam itu boleh lakukan apa saja, tak kira siapa. Kenapa?


“Kerana Zahid sekarang ini menghadapi 87 pertuduhan di dalam mahkamah. Saya tak boleh kata dia bersalah ataupun tidak, kerana kes masih di dalam mahkamah. Kemungkinan kalau lambat PRU, mahkamah akan buat keputusan untuk jatuhkan hukuman. Katakan dia bersalah, maka dia tidak boleh bertanding lagi dalam pilihan raya.


“Kalau dia buat pilihan raya, UMNO-BN boleh menang bentuk kerajaan, boleh jadi PM dan boleh mempengaruhi pihak-pihak tertentu yang membawa kepada kesnya akan digugurkan,” katanya.


Beliau berkata demikian di hadapan 4,000 penduduk dalam ucapan di Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor, di sini pada Ahad.


Hadir sama, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang; Presiden GERAKAN Senator Datuk Dr Dominic Lau; dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Saleh.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata adalah tidak logik apabila Ismail Sabri menuduhnya sebagai punca Perdana Menteri menghadap Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.


“Kerana saya selaku Pengerusi PN sudah beritahu tidak mahu PRU diadakan bukan kerana takut BN dan PH.

“Tetapi kita takut bila ada pilihan raya sekarang ini dan banyak negeri dilihat menghadapi musim tengkujuh dan banjir, bagaimana kita nak uruskan pilihan raya?


“Saya fikir SPR juga akan berdepan dengan banyak masalah, jentera mesti dikerah untuk mengangkut pengundi-pengundi di pusat pemindahan sementara banjir.


“Dalam keadaan yang sama juga, kita mahu rakyat tunaikan tanggungjawab supaya hak mereka untuk mengundi ini akan digunakan supaya keputusan rakyat terbanyak seboleh mungkin untuk memilih parti yang boleh membentuk kerajaan pada PRU15.


“Ini salah siapa? Bukan salah Agong. Salah Ismail Sabri yang menasihati Agong supaya membubarkan Parlimen, walaupun dalam mesyuarat Jemaah Menteri tidak buat keputusan mengenai pembubaran Parlimen,” katanya.

bottom of page