top of page
  • Writer's pictureNizam

Abang Johari, GPS dan Sarawak 2030


Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mendapat darjat kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri baru-baru ini, begitu sinonim dengan Satok.

Kerusi DUN dengan 14,314 pengundi di tengah-tengah bandar raya Kuching yang diwakilinya selama sembilan penggal sejak 1981 itu banyak menyaksikan perubahan dan pembangunan di bawah terajui beliau.


Dari segi politik, Ketua PBB Bahagian Satok itu telah mengharungi pelbagai gelora politik termasuk berdepan ujian getir dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PBB pada 1998 ketika politik negara bergelora.


Pada tahun tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno dan dari kerusi Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Di Sarawak, Abang Johari berdepan tentangan sengit daripada Tan Sri Adenan Satem yang disokong kuat oleh Ketua Menteri waktu itu, Tun Abdul Taib Mahmud.


Dalam pemilihan yang dramatik di Hotel Santubong milik ahli korporat terkemuka, Tan Sri Ting Pek Khiing, ribuan perwakilan terkejut apabila Abang Johari sebagai underdog menewaskan Adenan dengan 127 undi untuk jawatan Timbalan Presiden PBB. Namun, kemenangan itu hampir membawa padah kepada kerjaya politiknya. Beliau bagai berada dalam belantara politik untuk seketika sehingga banyak pihak menyisihkan beliau. Malah, ada yang menghina dan memandang rendah terhadap beliau. Ya, manusia dapat merancang Tuhan yang menentukannya.


Meski berdepan pelbagai cabaran, ujian dan hambatan, bintang politik Abang Jo – begitu beliau mesra dikenali – tetap menyerlah. Sebelum ini, setiap kali berita bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud diura-urakan akan melepaskan jawatannya, setiap kali itulah nama Abang Johari dikaitkan sebagai calon yang akan menggantikannya. Namun demikian, apabila Taib benar-benar melepaskan kedudukan kerusi yang sangat lama disandangnya itu, tiba-tiba orang yang tidak mempunyai kedudukan yang kanan pula diangkat naik.

Bagaimanapun, Abang Johari terus bekerja seperti biasa. Beliau tetap bekerja untuk parti dan rakyat. Beliau tidak memprotes. Tidak merajuk. Jauh sekali memberontak. Semangat setia kawan sentiasa dikekalkan. Beliau mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan diri.


Ketika banyak pihak menganggap beliau sepatutnya dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, ketika Taib berundur, sekali lagi pilihan tidak jatuh kepadanya, sebaliknya kepada Adenan meskipun ketika itu beliau ialah Timbalan Presiden PBB. Pengorbanan, kesetiaan dan komitmen anak Gabenor pertama Sarawak yang dilahirkan di Limbang pada 4 Ogos 1950, ketika Sarawak masih dicengkam British itu, sukar dipertikaikan.

Bagi mereka yang kenal akan Abang Johari, beliau ialah pemimpin yang bersih, sentiasa berusaha membantu mereka yang dalam kesusahan, pemimpin yang inklusif, pendengar yang baik, sabar, jujur dan komited untuk memacu Sarawak ke hadapan.


“Daripada pengamatan saya, beliau ialah seorang yang kuat dan gigih bekerja. Bagi beliau, kerja,kerja, kerja.’ Kesungguhan dan komitmen inilah yang kami kagumi dan pelajari…Kami mesti ikut rentak dan contoh yang beliau tunjukkan. Beliau begitu mengutamakan nasib dan kebajikan masyarakat serta pembangunan di kawasan ini sejak awal 1980-an hingga kini,” jelas Datuk Ibrahim Baki kepada penulis.


Ibrahim ialah Timbalan Ketua Bahagian PBB Satok, calon GPS Satok yang menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Abang Johari. Ibrahim, seorang tokoh korporat lulusan undang-undang dari University of Wolverhampton, England merupakan calon terbaik dan paling sesuai untuk mengisi kasut besar yang ditinggalkan oleh Abang Johari yang telah berjaya mentransformasikan Satok terutama dari segi prasarana, kemudahan asas, ekonomi, komunikasi dan pendidikan.


Kewibawaan dan ketokohan Pengerusi GPS itu tidak diragui. Saya pernah menyaksikan bagaimana beliau tampil di pentas persidangan antarabangsa di Universiti Oxford, London beberapa tahun lalu dengan cukup meyakinkan, di hadapan profesor dan tetamu yang bukan calang-calang. Abang Johari berucap dalam bahasa Inggeris yang begitu lancar dan berkesan, tanpa teks dan berjaya memukau khalayak.


Beliau bercakap tentang sektor pelancongan, warisan dan ekonomi. Ucapannya kerap mendapat tepukan daripada khalayak di dalam St Edmund Hall, dewan yang dibina pada 1236. Saya yang turut berada dalam kalangan khalayak pada majlis itu berasa amat bangga dan kagum dengan sambutan hangat khalayak ternama dan terkemuka di University Oxford itu.


Perjalanan politik lelaki berbintang Leo yang suka makan mi kolok dan suka berkebun di belakang rumahnya pada waktu lapang serta suka meneroka idea baharu itu, akan berpindah kerusi ke Gedong untuk PRN-12. Matlamat utama perpindahan ke Gedong adalah untuk membangunkan kawasan luar bandar. Ini bukan pertama kali Ketua Menteri Sarawak berpindah kawasan DUN. Tun Taib pernah berpindah dari Asajaya ke Balingian manakala Adenan dari Muara Tuang ke Tanjung Datu. Beliau berpindah ke Gedong bukan kerana takut tewas seperti tuduhan segelintir pihak. Yang orang tidak tahu ialah, pada 2016, beliau mendapat majoriti yang amat meyakinkan, iaitu sebanyak lebih 5,000 undi majoriti.


Abang Johari yang berpegang kuat pada ajaran agama sering menyatakan tidak takut kepada sesiapa. “Untuk menjadi bahagia, jangan terlalu obses dan mesti percaya kepada Tuhan. Apa-apa saja yang Tuhan putuskan, ambil saja. Saya tak takut siapa-siapa kecuali Tuhan,” katanya kepada penulis.


Abang Johari telah menjadi Ketua Menteri selama lima tahun. Dalam tempoh itu, beliau telah melaksanakan lebih seratus inisiatif meliputi pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, pendidikan, kebajikan, Internet dan seumpamanya.


Beliau seorang reformis dan pejuang pembangunan luar bandar. Tanpa niat untuk memperkecil sumbangan Ketua Menteri terdahulu, Abang Joharilah pemimpin yang paling komited dalam memajukan kawasan luar bandar Sarawak, cuba menyelesaikan kemudahan asas, jalan raya, air bersih, elektrik dan sebagainya.


Buktinya, sekitar 60 peratus daripada peruntukan belanjawan sekitar RM40 bilion dari 2018 hingga 2022, adalah untuk luar bandar. Inilah bajet paling besar dalam sejarah Sarawak dan paling besar dalam kalangan negeri di Malaysia. Sebanyak RM6 bilion disalurkan untuk membina sepuluh jambatan dan berbilion-bilion lagi untuk memastikan bekalan air dan elektrik dalam kalangan penduduk luar bandar dapat direalisasikan. Abang Johari mahu mendapatkan mandat bagi dirinya dan GPS bagi meneruskan pembangunan. Itulah sebabnya manifesto GPS berpaksikan tema “Kestabilan, Kemakmuran, Kegemilangan.”

“Sebagai rakyat Sarawak, adalah menjadi kewajipan kita untuk memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pada masa kini dan akan datang. Ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan Sarawak yang kita sayangi,” kata Pengerusi GPS itu ketika melancarkan Manifesto GPS pada malam Rabu lalu.

“Janganlah kita menggadaikan masa depan kita dengan memilih parti yang gagal memenuhi kehendak rakyat Sarawak…malah menipu rakyat Sarawak,” katanya merujuk kepada Pakatan Harapan yang gagal sebagai kerajaan selama 22 bulan.


PH telah gagal menunaikan janji memberi 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus hasil cukai kepada Sarawak. Juga mengecewakan orang Sarawak kerana sampai hati membatalkan banyak projek pembangunan termasuk jambatan dan jalan raya untuk kemudahan rakyat kerana sikap balas dendam pemimpinnya. Kesudahannya, 2.8 juta rakyat Sarawak kecewa dan marah dengan tindak-tanduk PH itu.


Abang Johari memerlukan mandat untuk membawa Sarawak menuju ke 2030 sebagai negeri maju berpendapatan tinggi. Juga bagi membela hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu menyerahkan masa depan Sarawak kepada pemimpin yang bersih, berintegriti dan komited memperjuangkan nasib rakyat. Dan bukannya pemimpin dan parti yang hanya pandai berjanji dan gagal menunaikannya.




Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

bottom of page