• newsatmy

Acryl Sani dilantik Ketua Polis Negara baharu

30 April 2021

PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontraknya, Isnin depan.


Perkara itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada majlis penyerahan surat pelantikan KPN ke-13 di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Jumaat.


Acryl Sani, 60, yang kini berada kedudukan nombor dua pasukan Sang Saka Biru berpengalaman luas dalam tugas kepolisan.


Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negeri Terengganu dan Perak serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.


Selain itu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah serta menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.


Acyril Sani juga pernah dilantik menjadi pengarah di beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu.