- admin
Ada gerakan mahu guling Hajiji sebagai Ketua menteri Sabah
5 Jan

Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah – pakatan parti politik dianggotai Barisan Nasional (BN); PBS dan bekas ahli Bersatu – mula bimbang berhubung keabsahan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri (KM), setelah ada pihak cuba membangkitkannya dengan memetik Perlembagaan Negeri Sabah.
Susulan itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata gabungan berkenaan bersedia membuktikan keabsahan Hajiji sebagai KM yang menerima sokongan majoriti ADUN Sabah.
Kenyataan itu dibuat menyusul dakwaan mengatakan ada pihak tertentu yang dikatakan sudah memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu, setelah 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang menang Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 2020 lalu, keluar daripada Bersatu.
Malah, pelantikan Hajiji sebagai KM dibuat berdasarkan kemenangan atas tiket Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) – bukannya atas tiket dan lambang GRS – yang kemudian mendapat sokongan BN, kini dipersoalkan.
Masidi mendakwa Hajiji menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN untuk terus memimpin kerajaan negeri yang ada sekarang, termasuk semua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Dakwaan mengenai gerakan menubuhkan kerajaan baharu di Sabah ditimbulkan beberapa kali sejak pimpinan Hajiji membawa bersama semua ADUN Bersatu Sabah keluar parti pada 10 Disember 2022 dan kekal sebagai ahli GRS.
Satu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah GRS tidak pernah bertanding dalam PRN-16 Sabah pada 26 September 2020, apatah lagi menang sebarang kerusi dengan menggunakan lambangnya.
Parti politik Hajiji ketika PRN-16 ialah Perikatan Nasional dan mereka bertanding menggunakan lambang serta watikah daripada gabungan yang diketuai Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, pakar ekonomi politik Jeremiah Yee meminta Yang di-Pertuan Sabah Tun Juhar Mahiruddin menarik balik pelantikan Hajiji sebagai KM kerana dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Negeri Sabah, setelah beliau keluar daripada Bersatu.
Katanya Perkara 6(3) itu bukanlah satu peruntukan yang boleh dipacakkan secara tunggal kerana ianya hendaklah dibaca bersama Perkara 6(7) yang berbunyi: “Bagi maksud fasal (3) Perkara ini, dimana suatu parti politik telah menang majoriti kerusi-kerusi Dewan Undangan yang dipilih dalam suatu pilihan raya umum, ketua parti politik tersebut yang adalah ahli Dewan Undangan, hendaklah menjadi ahli Dewan Undangan yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.”
Ketika ini, blok kerajaan yang dianggotai GRS dan BN di peringkat negeri masih berada dalam kedudukan selesa dengan 53 kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah, termasuk enam ADUN Dilantik serta ADUN yang mesra kepada kerajaan.