top of page
  • Writer's pictureNihaba

Adakah MAGERAN solusi terbaik negara?


Kita dikejutkan dengan siri mesyuarat dan persidangan yang melibatkan raja-raja Melayu dan tidak lama selepas itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk memanggil dan berbincang dengan kesemua ketua parti politik di dalam siri mesyuarat khas yang berasingan. Ulasan berkaitan sesi pertemuan dengan YDPA itu banyak menjurus kepada isu moratorium, keperluan untuk membuka sidang parlimen, ahli parlimen pembangkang tolak darurat dan solusi terbaik untuk menangani pandemik Covid-19. Di dalam banyak ulasan yang dibuat, ada satu usul yang menarik minat orang ramai dan lain daripada yang lain iaitu usul untuk menubuhkan suatu jawatankuasa seperti Majlis Gerakan Negara atau singkatannya MAGERAN.


Untuk makluman pembaca, orang yang bertanggungjawab mengusulkan MAGERAN ini adalah tidak lain dan tidak bukan bekas perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan yang ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau selaku Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu juga berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara dari segi kesan penularan pandemik COVID-19. Tambah beliau lagi, keyakinan itu bersandarkan kejayaan penubuhan MAGERAN pada 1969 yang diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyelesaikan masalah politik dihadapi ketika itu dan negara kekal stabil untuk tempoh panjang. Selain itu, katanya, badan seperti MAGERAN lebih mampu memastikan jumlah jangkitan dan kematian ketika ini berkurangan kerana ia bukan saja dibarisi ahli politik, malah teknokrat seperti pakar epidemiologi dan seumpamanya.


Mengulas mengenai MAGERAN pada tahun 1969, penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969 bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC. Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.


Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970. Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat. Kita tidak nafikan bahawa ketika itu, penubuhan Majlis Gerakan Negara telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini. Namun adakah darurat ketika itu sama dengan darurat yang kita hadapi sekarang? Adakah kerajaan gagal berfungsi di dalam menangani pandemik Covid-19? Adakah semua orang dapat menerima pembentukan MAGERAN ini?


Bercakap mengenai isu ini, Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diwujudkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi negara, serta kesan penularan COVID-19 ketika ini. Perkara itu dimaklumkan tiga pemimpin kanan PH, iaitu Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Mereka nampaknya lebih memilih untuk menamatkan darurat dengan segera dan mahukan Parlimen kembali bersidang. Alasan menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, serta percaya yang penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu COVID-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di sidang Parlimen.

Begitu juga dengan Umno yang telah menyampaikan hasratnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tadi agar Parlimen kembali bersidang demi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan. Malah, Ahmad Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa dia tidak melihat keperluan untuk penubuhan penubuhan kerajaan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai satu keperluan buat masa ini. Umno juga menyampaikan pendirian agar pelaksanaan darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos nanti, selain isu ekonomi yang menjejaskan mata pencarian rakyat.


Saya tidaklah mahu mengulas panjang tetapi agak kehairanan dengan sikap kedua-dua blok ini. Solusi mudah mereka adalah bila Parlimen dibuka kesemua masalah rakyat dapat ditangani. Benarkah begitu? Tidak semudah itu, kerana kita sedia maklum betapa huru haranya sidang Parlimen dengan gelagat ahli-ahli parlimen kedua-dua blok ini sehinggakan sesuatu usul tidak dapat dibincangkan dengan baik dan memakan masa yang terlalu lama.


Jikalau nak buat suatu ketetapan untuk menyokong dan meluluskan sesuatu usul itu pun mengambil proses yang begitu lama berpunca daripada gelagat gila-gila dan kurang matang di dalam berhujah, masakan mereka dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan memberi solusi terbaik secara kondusif, serta segera sedangkan rakyat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ di dalam mencari bantuan untuk memenuhi keperluan dapur seisi keluarga. Dan berpunca daripada sikap segelintir mereka inilah darurat sangat-sangat diperlukan agar perbelanjaan negara untuk kepentingan awam dan rakyat dapat terus disalurkan tanpa perlu melalui proses birokrasi dan sidang parlimen yang tidak berkesudahan. Jadi, apakah sebenarnya matlamat sebenar mereka ini? Itu saya serahkan pada para pembaca budiman untuk menganalisanya secara terperinci.


Berbalik kepada persoalan pokok sama ada jawatankuasa seperti Mageran ini perlu ditubuhkan atau pun tidak di dalam situasi terkini negara. Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad, berkata berikutan usul itu, cadangan sedemikian adalah suatu langkah ke belakang yang pastinya akan merencatkan usaha kerajaan dan semua pihak dalam menangani krisis yang dihadapi negara.


Marzuki dalam pada itu menggariskan tiga faktor yang membezakan keadaan sekarang dengan darurat pada 1969, sekali gus menunjukkan tiada keperluan untuk menubuhkan MAGERAN. Pertama, negara kita bukan berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi hanya darurat kesihatan. Kedua, Kabinet sedia ada sedang berfungsi dan banyak membuat keputusan bukan sahaja berkaitan pandemik COVID-19, tetapi juga mengenai pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara secara keseluruhannya. Ketiga, kerajaan juga telah ada beberapa mekanisme khusus untuk menangani pandemik COVID-19.


Suka untuk saya mengajak para pembaca membuat sedikit analisa tentang kenyataan Marzuki ini.


Hujah pertama, darurat kesihatan tidaklah sama jika dibandingkan dengan darurat keselamatan yang berlaku pada tahun 1969 sehingga memerlukan MAGERAN. Mari kita imbas kejadian yang berlaku pada tahun 1969, yang lebih dikenali dengan tragedi 13 Mei 1969. Ia berpunca dari Pilihanraya Umum yang telah berlangsung pada 10 Mei 1969 di mana emosi dan sentimen perkauman telah disuarakan dengan begitu lantang. Walaupun Parti Perikatan telah berjaya menubuhkan kerajaan sekali lagi tetapi dengan kelebihan undi yang kurang berbanding dengan kemenangan sebelumnya. Akibat dari tragedi ini banyak nyawa yang tak berdosa terkorban dan harta benda musnah. Untuk mengawal keadaan, darurat telah diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan untuk mengambil alih pemerintahan negara. MAGERAN telah diketuai oleh Tun Abdul Razak dan beliau telah menjalankan perbincangan dengan semua pihak yang berkenaan untuk mewujudkan semula perpaduan di Malaysia. Darurat dan MAGERAN adalah perlu memandangkan keutuhan negara boleh hancur akibat jurang perkauman yang ketara. Angka korban ketika darurat ketika itu seramai 431 orang dengan komposisi 86 orang Melayu, 342 orang Cina dan 3 orang dari etnik selain itu. Memang betul jika hendak dibandingkan jumlah kematian ketika itu dengan jumlah kematian akibat Covid-19 adalah jauh lebih kecil tetapi kedaulatan dan keselamatan negara bakal terancam jika tidak dilaksanakan perintah darurat.


Sementara itu, MAGERAN adalah lebih bertujuan untuk menghentikan peranan Parlimen akibat daripada pertelingkahan ideologi politik perkauman yang tidak lain dan tidak bukan dibawa oleh orang-orang politik. Ini menjadikan asas kerasionalan untuk menangguhkan sebarang sidang Parlimen ketika darurat kesihatan ini diisytiharkan.


Hujah kedua lebih berkisar kepada pentadbiran negara di dalam menguruskan ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara secara keseluruhannya. Sebenarnya, cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) jika dinilai dari segi logik, ia lebih memudahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir kerana ia membolehkan kuasa dipusatkan dengan mutlak. Ketika ini, Perdana Menteri tidak mengambil cadangan autoritarian itu kerana mahu mengekalkan ciri-ciri kerajaan awam dengan Kabinet dapat memainkan peranan secara penuh dan menjalankan fungsi-fungsi mereka seperti biasa. Malah, negara mempunyai beberapa jawatankuasa khas seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang aktif menguruskan pandemic termasuk jawatankuasa lain yang mengendalikan operasi-operasi harian di dalam memenuhi ketetapan MKN melalui sidang media yang diadakan mereka. Ada dua jenis sidang MKN iaitu Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang bersidang minimum dua kali seminggu dan satu lagi ialah Sidang Khas MKN Mengenai Darurat yang bersidang minimum sekali setiap seminggu. Dengan sekurang-kurangnya tiga sidang MKN, ditambah Mesyuarat Kabinet setiap minggu, ada empat mesyuarat khusus yang menangani hal ehwal semasa. Kita boleh rumuskan di sini yang kerajaan telah berjaya menjalankan fungsi-fungsinya dengan baik dan jika hendak dibandingkan dengan penubuhan MAGERAN 1969, ketika itu kerajaan gagal mengawal urus tadbir keselamatan negara dengan baik dan ini boleh menjurus kepada campur tangan anasir-anasir luar yang ketika itu, kita sedia maklum betapa blok komunis dan blok perikatan sedang berlumba-lumba untuk meluaskan pengaruh mereka di Asia Tenggara seperti apa yang terjadi di Vietnam sehingga meletusnya peperangan antara Vietnam yang dipengaruhi komunis dengan Amerika Syarikat yang tidak mahu Vietnam menjadi pusat propaganda komunis Asia Tenggara yang boleh merisikokan negara-negara yang berhampiran dengannya juga dikuasai oleh komunis termasuk Malaysia.


Hujah ketiga lebih kepada mekanisma dan pelan tindakan kerajaan di dalam menangani penularan wabak pandemik Covid-19. Seperti yang dinyatakan di atas, MKN dan beberapa jawatankuasa bersifat operasional telah dibentuk untuk mengendalikan darurat kesihatan dan perintah-perintah am bertujuan untuk mencegah penularan Covid-19. Semua isu pengurusan pandemik seperti keputusan berkaitan kesihatan awam, kuarantin, saringan rakyat, saringan pekerja asing, rawatan, vaksinasi dan prosedur operasi standard (SOP) dibincangkan dalam mesyuarat manakala keputusannya dilaksanakan oleh kementerian-kementerian yang bertanggungjawab. Dengan kata lain, semua kementerian dan jentera kerajaan sentiasa berfungsi secara optimum manakala semua keputusan adalah berdasarkan data dan fakta terperinci bagi membolehkan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi rakyat dibincangkan dengan kerap dan keputusan dibuat lebih tepat pada masanya.


Jadi, kenapa perintah am dan arahan kerajaan sentiasa berubah? Adakah kerajaan gagal berbincang dan menyusun strategi yang kondusif untuk rakyat dan negara? Pada saya, situasi yang dinamik memerlukan pengurusan yang dinamik seperti yang dilakukan oleh kerajaan kini dan pastinya dinamika ini akan membawa perubahan-perubahan yang perlu pada sesuatu masa yang khusus untuk kebaikan semua. Kita juga sedar pastinya setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu tidaklah betul kesemuanya, tetapi kerja secara berpasukan ini membawa kemungkinan lebih besar untuk sentiasa membuat keputusan yang terbaik untuk sesuatu waktu itu, berdasarkan data yang ada pada masa itu dan juga memudahkan pembetulan dibuat jika tersalah untuk hari-hari yang mendatang.


Secara keseluruhannya, saya bersetuju dengan pendapat untuk meneruskan darurat kesihatan ini serta meneruskan penangguhan sidang Parlimen, dan bukanlah waktu yang sesuai untuk menggantung Parlimen dan Kabinet dengan menubuhkan jawatankuasa seperti MAGERAN kerana kerajaan dan agensi-agensi berkaitan kerajaan sedang melaksanakan fungsi dan peranan mereka dengan baik di dalam mendepani penularan pandemik Covid-19 serta isu-isu terkait pentadbiran, ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan.


Nasihat saya kepada semua, jangan mudah percaya dengan membabi-buta kehendak orang politik kerana pastinya setiap sesuatu yang diinginkan itu pasti ada agenda di belakangnya. Jadilah rakyat yang sentiasa membuat analisa dan penilaian terhadap setiap sesuatu yang dibangkitkan agar tidak merencatkan kestabilan ekonomi dan politik yang dikecapi negara sejak sekian lama.



Mohammed Nizam Bin Hassan.



--PN Online

bottom of page