• newsatmy

ADUN Pitas nafi sokong Warisan, tubuh kerajaan Sabah baharu

18 Mei 2021

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah hari ini tampil menafikan beliau menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) membentuk kerajaan negeri yang baharu.


Beliau menegaskan penafian itu dilakukan susulan beberapa mesej tular di media sosial yang mengaitkan namanya menyokong Warisan untuk bersama membentuk kerajaan bagi menggantikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Beliau yang juga menang dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) atas tiket Bebas itu berkata, penularan mesej berkenaan adalah fitnah semata-mata.


"Beberapa hari ini tersebar mesej memaparkan nama saya dan beberapa pemimpin lain di aplikasi WhatsApp yang akan menyokong Warisan membentuk kerajaan negeri Sabah adalah tidak benar.


"Saya menafikan dakwaan dalam mesej tersebut yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia adalah fitnah semata-mata," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.


Terdahulu, kecoh sejak semalam berikutan beberapa mesej yang ditularkan melalui WhatsApp dan Facebook dengan dakwaan terbentuknya satu jajaran politik baharu melibatkan Warisan, Parti Bersatu Sabah (PBS) serta sokongan ADUN-ADUN lain bagi membentuk satu kerajaan baharu di negeri ini.


Bagaimanapun isu itu disangkal oleh Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataannya pada malam Ahad dengan memberi gambaran ianya hanya 'cakap-cakap' kosong sahaja.


Sementara itu, Ruddy dalam pada masa yang sama turut mendedahkan beliau selaku wakil rakyat parti pemerintah terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mentadbir negeri ini.


"Saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong penuh kerajaaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


"Oleh itu saya menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran mesej berkenaan dan menyiasat dahulu kesahihan maklumat yang disebarkan di media sosial," katanya.


-Astro Awani