• newsatmy

AEON optimis prestasi lebih baik pada suku ke-4

25 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: AEON CO (M) BHD (AEON) menjangkakan keyakinan pengguna akan terus meningkat susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan perjalanan antara negeri sekali gus dapat melonjakkan hasil keseluruhan kedua-dua segmen runcit dan hartanah kumpulan.


Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, cuti hujung tahun dan musim perayaan akan datang akan meneruskan aliran trafik ke pusat membeli belah dan ia secara tidak langsung memberi penambahbaikan dalam kadar penyewaan termasuk ruang acara sementara bagi kumpulan.


"Memandangkan cabaran jangka pendek kekal dengan endemik COVID-19, Syarikat sentiasa optimistik dengan prestasi yang lebih baik pada suku keempat 2021, dan akan terus memantau dan menilai keadaan perniagaan, sambil kekal proaktif untuk memastikan persekitaran membeli-belah dan bekerja yang selamat untuk pelanggannya dan pekerja.


"Sehingga kini, syarikat telah mencapai lebih daripada 99 peratus kadar vaksinasi pekerjanya dan ekosistem AEON, dan akan meneruskan pembersihan pencegahan semua premisnya setiap minggu," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.


Tambah beliau, perubahan dalam tingkah laku pelanggan, serta gangguan dalam banyak industri telah mewujudkan peluang pertumbuhan yang besar bagi kumpulan.


"Kami telah bersedia untuk menyesuaikan diri dan menangkap potensi permintaan terutamanya menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baru.


"Dengan potensi peningkatan daripada perayaan sehingga akhir tahun, kami optimis 2021 akan menjadi tahun kewangan yang menguntungkan,” tambah Shafie.


AEON merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM18.7 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 selepas mencatat keuntungan empat suku berturut-turut sepanjang penularan wabak COVID-19.


AEON dalam kenyataannya berkata, keputusan itu telah dijangka memandangkan pandemik terus mengganggu persekitaran perniagaan, rantaian bekalan dan pekerjaan yang membawa kepada sentimen pengguna yang lebih lemah.


"Syarikat telah menutup segmen tidak pentingnya selama 71 hari pada suku tersebut.


"Walaupun program vaksinasi kebangsaan sedang dilaksanakan, pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara untuk mengurangkan risiko kejangkitan dengan sekatan sejak Jun 2021 telah memberi kesan buruk kepada hasil syarikat," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini semalam.




*Berita asal di DagangNews.com