• Arissa Azman

Agong perkenan peletakan jawatan Perdana Menteri, lantik Muhyiddin sebagai PM Caretaker

16 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.


"Ini selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.


"Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.


"Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sesi menghadap oleh Presiden BERSATU itu berlangsung di Istana Negara itu selama 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari.


Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada jam 11 pagi.


Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 484 atau 79 peratus daripada 613 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah zon merah COVID-19.


Katanya, Seri Paduka turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.


"Justeru pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat," katanya.


Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID 19.


"Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya.




--PN Online