• newsatmy

Agong, Raja Permaisuri zahir rasa sukacita dengan pencapaian Shereen Vallabouy

17 Mac 2022

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan bangga dengan kejayaan atlet olahraga negara, Shereen Vallabouy yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.


Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada Shereen atas kejayaan beliau memecahkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) di Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCCA), Amerika Syarikat pada 12 Mac lepas.


"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan para atlet kebangsaan lain untuk terus bekerja keras mencapai kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di kejohanan-kejohanan mendatang.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Shereen dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan," menurut hantaran itu, malam ini.


Shereen merupakan atlet wanita pertama yang mencatatkan masa 53.79 saat (s) dan memperbaiki catatan peribadi beliau 54.94s serta memecahkan rekod kebangsaan 16 tahun yang dipegang Noraseela Mohd Khalid dengan catatan 54.58s bagi acara 400m dalam dewan.


Beliau turut memecahkan rekod 12 tahun bagi Northern Sun Intercollegiate Conference.


Shereen yang juga anak kepada bekas atlet negara Samson Vallabuoy dan Josephine Mary, kini menuntut di Winona State University, Minnesota dalam bidang rekreasi dan pelancongan.