top of page
  • newsatmy

Agong zahir ucapan tahniah buat atlet yang layak ke Olimpik 2020

7 Julai 2021

Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah buat semua atlet negara atas kegigihan dan kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya sukan Olimpik dan sukan Paralimpik Tokyo 2020.


Menerusi perkongsian di Facebook Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar atlet-atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia.


“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar para atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua-dua temasya tersebut.


“Selain itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga atlet-atlet negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan.


Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua kontinjen negara ke acara temasya itu.


Pada sesi menghadap jam 4 petang Selasa itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara di kedua-dua temasya tersebut.


Turut hadir adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman.


Temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.



bottom of page