• newsatmy

Agong zahir ucapan takziah atas kematian Maradona

Updated: Nov 30, 2020

- Bernama




Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian legenda bola sepak, Diego Armando Maradona, akibat serangan jantung di rumahnya, di Argentina, pada Rabu.


Menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di laman Facebook, Agong juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, orang tersayang, peminat dan rakyat Argentina atas kehilangan seorang anak bangsa yang dikasihi dan amat dihargai.


"Kali terakhir baginda bertemu dengan pemain bola sepak berbakat itu ialah di Zurich semasa Anugerah Terbaik Bola Sepak Fifa pada 2017 dan terpesona dengan karisma, keperibadian yang menyenangkan dan sikap suka berjenaka,” menurut kenyataan itu.


Seri Paduka Baginda yang sememangnya menggemari sukan bola sepak yang cukup menarik itu sama ada di peringkat Malaysia dan dunia berkongsi minat yang serupa dengan Maradona dan Seri Paduka Baginda dan legenda bola sepak dunia itu berkongsi cerita yang panjang lebar mengenai sukan itu.


"Pertemuan tersebut merupakan kenangan berharga buat Seri Paduka Baginda dan mendiang Maradona pastinya akan sentiasa diingat sebagai pemain bola sepak yang diminati Seri Paduka Baginda.


"Maradona yang sememangnya disayangi peminat bola sepak di seluruh dunia, juga dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik pada sepanjang masa dan merupakan ketua pasukan Argentina yang memberi inspirasi di sebalik kejayaan pasukan itu menjuarai Piala Dunia 1986.


“Beliau juga adalah figura terkenal di Boca Juniors, Barcelona dan kelab Itali Napoli, yang beliau terajui sehingga memenangi kejuaraan Serie A pada 1980-an," menurut kenyataan itu.


Al-Sultan Abdullah juga memberi penghormatan kepada legenda bola sepak itu tokoh berbakat besar dan merupakan seorang pemain bola sepak yang berwawasan semasa berada di padang bola, meninggalkan warisan yang mengagumkan yang pastinya akan dikenang oleh generasi akan datang di seluruh dunia.