Ahli ekonomi: Perbezaan tindak balas tangani COVID-19 tentukan prestasi ekonomi pada masa depan
3 Februari 2021
KUALA LUMPUR, -- Perbezaan dalam tindak balas menangani COVID-19 adalah cerminan kepada tadbir urus serta kapasiti dalam kesihatan awam serta dasar ekonomi yang akan menentukan prestasi ekonomi pada masa depan.
Profesor Madya Razeen Sally daripada Lee Kuan Yew School of Public Policy berkata di rantau ASEAN, Singapura, kecuali isu-isu pekerja asing pada awal fasa krisis dan sekatan pergerakan, dan Vietnam jelas melakukan yang terbaik dalam menangani krisis dari segi kesihatan awam dan dasar ekonomi.
Beliau berkata Malaysia dan Thailand pula menanganinya dengan baik semasa fasa pertama tetapi keadaan menjadi buruk semasa gelombang kedua dan seterusnya manakala Indonesia dan Filipina tidak bertindak balas dengan baik dalam menguruskan pandemik itu.
“Dari segi positifnya, prospek pertumbuhan Asia Tenggara masih sangat baik dengan purata pertumbuhan lima peratus di seluruh rantau, manakala pelaburan langsung asing tinggi ke rantau ini berbanding China.
“(Rantau ini) juga memiliki pulangan pelaburan yang tinggi dan mencatatkan kenaikan dalam pengeluaran dan pemindahan rantai bekalan global dengan Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia merupakan antara yang meraih manfaat utama manakala Indonesia walaupun memiliki potensi besar, potensinya tidak menjadi kenyataan,” katanya dalam persidangan dalam talian selama tiga hari yang bertemakan “Malaysia Outlook Conference 2021” di sini, hari ini.
Dari segi negatifnya pula, beliau berkata pasca COVID-19, Malaysia dan Thailand dilihat berada dalam perangkap pendapatan sederhana di tengah-tengah ketidakpastian berhubung politik dan tadbir urus ekonomi serta isu-isu lain seperti keupayaan inovasi dan kos buruh.
Mengulas lanjut mengenai risiko yang dihadapi Malaysia berada dalam perangkap pendapatan sederhana, beliau berkata negara perlu melakukan pembaharuan struktur dalam dasar ekonominya untuk keluar daripada perangkap tersebut.
“Kombinasi lebih banyak tekanan peraturan antarabangsa dan tiada pembaharuan pasaran akan membawa kepada senario terburuk kepada Malaysia, bukan sahaja untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana tetapi juga penurunan pertumbuhan,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata cabaran besar bagi negara adalah untuk mempelbagaikan ekonominya dengan menumpukan kepada pembuatan bernilai tinggi dan beralih daripada status quo, ke arah inovasi dan produktiviti dengan penekanan terutamanya terhadap perkhidmatan, tenaga bersih dan alam sekitar.
“Tetapi ini memerlukan pembaharuan padu dalam pasaran modal Malaysia seperti tanah, buruh dan modal, katanya.
-- BERNAMA
Comments