top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ahli Parlimen Bersatu kekal sokong Muhyiddin

30 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdiri teguh dan menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan empat Ahli Parlimen bebas yang menzahirkan sokongan menyokong Perdana Menteri.


Pada masa sama, Bersatu menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat dan agenda memerangi COVID-19 pada Mesyuarat Khas Parlimen.


Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.


Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.


Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.



--Awani

bottom of page