top of page
  • Farah

Ahli Parlimen Pendang dihalau keluar Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR 8 Mac:Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim dari Perikatan Nasional (PN) dihalau keluar, direhatkan selama dua hari daripada menghadiri sesi persidangan Dewan Rakyat selepas berulang kali mengganggu sesi penggulungan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini.


Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengarahkan wakil rakyat daripada PAS itu keluar dari Dewan Rakyat selepas diberi amaran beberapa kali supaya duduk dan tidak mencelah tanpa kebenaran.


Terdahulu, pertelingkahan antara dua wakil rakyat bermula itu apabila Rafizi meminta supaya Awang kekal berada di dalam Dewan Rakyat ketika ahli Parlimen Pandan itu memberi jawapan sebagai menteri.


Awang kemudian membalas bahawa beliau bukan jenis "kaki tembak dan lari tanpa mampu membuktikan sebarang tuduhan" sebelum diminta duduk oleh Johari.


Seterusnya, Rafizi mengulas bahawa tingkah laku Awang dikatakan sebagai menghina Dewan Rakyat dan tindakan ini sekali gus menimbulkan kemarahan beberapa wakil rakyat PN yang meminta supaya menteri ekonomi itu meneruskan sesi penggulungan.


Keadaan Dewan Rakyat kembali terkawal sebentar apabila speaker mengugut untuk menghalau mana-mana wakil rakyat yang terus bangun tanpa diberi kebenaran.


Beberapa minit kemudian, Dewan Rakyat kembali kecoh apabila Rafizi membidas persoalan beberapa wakil rakyat PN sebelum ini yang mempersoalkan mengenai "game changer" yang bakal diperkenalkan beliau sebelum menyatakan istilah itu adalah "tema" pembangkang untuk memburukkan kerajaan.


Awang sekali lagi bersuara menyatakan bahawa PN tidak pernah ada tema sebelum beberapa wakil rakyat kerajaan meminta speaker untuk menghalau beliau keluar daripada Dewan Rakyat.


Nama Awang sekali lagi disebut apabila Rafizi mengulas mengenai sasaran defisit 5% yang ditetapkan kerajaan apabila ahli Parlimen Pendang itu sebelum ini menyifatkan sasaran itu sebagai satu keajaiban.


Dewan Rakyat sekali lagi bertukar kecoh ketika Rafizi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman yang bertanya sama ada beliau sedar kerajaan sebelum ini terpaksa meningkatkan perbelanjaan dan hutang untuk merangsangkan ekonomi negara.


Jawapan itu bagaimanapun dikaitkan Rafizi dengan projek JanaWibawa serta mendakwa kerajaan sebelum ini gelojoh dalam meningkatkan hutang negara.


Ini menyebabkan Awang mencelah tanpa kebenaran sekali lagi dan bertanya mengenai isu tata kelola yang mana beliau menyatakan isu itu banyak terjadi ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Masalah tata kelola tadi zaman siapa? Zaman kawan kamulah BN," soal Awang.

"Pendang kalau nak jadi badut boleh cari menteri yang lain berucap. Bukan masa saya, saya ada benda yang penting saya nak sebut," balas Rafizi.


Awang bagaimanapun menuduh perkataan "badut" itu sebagai sangkaan jahat sebelum Johari mengarahkannya keluar Dewan Rakyat.

"Pendang, saya rehatkan Pendang untuk dua hari.

“Out now,” kata Johari sebelum Rafizi menarik semula perkataan badut yang ditujukan kepada Awang.

bottom of page