top of page
  • zaman

Ahli Parlimen PN bantah tolak bincang isu KWSP


KUALA LUMPUR 3 April: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) bertindak keluar dari Dewan Rakyat bagi membantah keputusan tidak membenarkan perbahasan bagi membincangkan isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar. Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1).


Wan Ahmad Fayshal berkata, usul berkenaan perlu dibahaskan hari ini kerana persidangan Dewan Rakyat akan tamat esok, namun ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kerana keputusan sudah dibuat Yang Dipertua, Datuk Johari Abdul.


“Tuan Yang di-Pertua, saya telah menerima jawapan balas daripada pejabat Tuan Dipertua Dewan Rakyat berhubung usul yang saya hantar pada Jumaat lalu.


“Malangnya, pada pagi ini saya lihat usul ini telah ditolak dengan alasan bahawa Timbalan Menteri dan Menteri Kewangan telah menjelaskan berkenaan pengeluaran bersasar KWSP ini.

“Tapi saya dapat banyak pandangan dan komplen keresahan daripada rakyat bahawa penjelasan daripada kedua-duanya tak memuaskan mereka. Jadi, izinkan untuk kami bahaskan perkara ini hari ini… berbaki dua hari lagi (sidang Dewan Rakyat), sebelum kita tamat sesi sidang Parlimen, hari ini.


“Bolehkah ia dipertimbangkan kepentingan orang ramai yang perlukan pengeluaran KWSP bersasar pada kali ini? Mohon pertimbangkan,” katanya.


Bagaimanapun, Kiong Yieng menegaskan bahawa Yang di-Pertua telah membuat keputusan dan meminta Wan Ahmad Fayhsal menghantar usul berkenaan sekali lagi sekiranya tidak berpuas hati.


Ahli Parlimen PN lain, termasuk Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) turut meminta supaya perbahasan mengenai KWSP dibenarkan, namun Kiong Yieng tetap bertegas dengan keputusan tersebut.


“Kalau begitu caranya, saya fikir kami di sini mahu juga perkara ini dibahaskan. Kalau tak mahu dibahaskan kami boleh keluar untuk menunjukkan bahawa kami protes dalam perkara ini,” kata ketua pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

bottom of page