top of page
  • newsatmy

Ahli Parlimen PNBBC setuju sumbang 30 peratus gaji

5 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) hari ini bersetuju menyumbangkan 30 peratus daripada gaji bulanan mereka ke dalam Akaun Amanah Bencana COVID-19 bagi tempoh tiga bulan.

Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata keputusan itu dibuat atas rasa keprihatinan dan tanda sokongan bagi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19.

"Menjadi harapan kami agar sumbangan yang sedikit ini dapat membantu dan meringankan bebanan kewangan mereka yang memerlukan dan meneruskan usaha-usaha untuk menentang COVID-19. Perkhidmatan kami kepada rakyat berterusan di Parlimen dan negara," kata Ahli Parlimen Arau itu kepada BERNAMA.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua menteri serta timbalan menteri tidak akan mengambil gaji mereka selama tiga bulan mulai Jun, yang akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut mengumumkan lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik COVID-19 melalui pengurangan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) serta Imbuhan Tetap Keraian (ITK) selama tiga bulan berdasarkan gred perkhidmatan.

Di Kuala Lumpur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata beliau akan menyumbang sepenuhnya elaun selama tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana bermula bulan ini. Katanya, langkah itu diambil atas kehendak sendiri selepas melihat keikhlasan serta kesungguhan kerajaan dan Muhyiddin memerangi COVID-19.

Katanya, beliau juga berharap rakan-rakan ADUN Pakatan Harapan (PH) Selangor serta negeri lain turut berbuat demikian bagi menunjukkan tanda solidariti terhadap usaha kerajaan melawan pandemik itu.

"Saya sarankan ADUN PH berhenti mencari kesalahan kerajaan sebaliknya mencontohi pemimpin PN dalam pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan dengan menyumbang elaun mereka ke arah yang sama.

"Umum mengetahui Program Vaksinasi Negara sedang berjalan dengan lancar, pusat-pusat vaksinasi mega sedang dibuka, pembelian vaksin oleh swasta, lori vaksin bergerak serta bermacam usaha lain sedang dan akan diusahakan kerajaan. Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) yang diumumkan Perdana Menteri juga banyak membantu rakyat yang terjejas selain bantuan lain yang diumumkan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, untuk menuduh kerajaan gagal menguruskan wabak ini adalah tidak tepat sama sekali,

sebaliknya, usaha memerangi COVID-19 adalah satu usaha bersama.

"Jika pihak pembangkang tidak ada apa untuk disumbangkan, mereka tidak wajar mengganggu usaha cemerlang kerajaan persekutuan," katanya.


-Berita Harian


bottom of page