top of page
  • admin

Ahli UMNO kena belajar berkawan dengan DAP untuk kembali kuat


Setelah menyertai kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH), ‘parti keramat Melayu – UMNO – kini perlu belajar untuk bekerjasama dengan rakan komponen PH, termasuk DAP, PKR dan AMANAH, yang sebelum ini menjadi musuh tradisi mereka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata beliau sendiri sebagai pengerusi kelab penyokong kerajaan perpaduan – kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) – belajar untuk bekerjasama dengan komponen PH. “Kita (UMNO) masih ada lagi 26 kerusi Parlimen. Yang penting, kita tidak boleh berpecah lagi. Saya sebagai Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan Perpaduan terpaksa belajar bekerjasama dengan parti-parti lain seperti PKR, DAP, Amanah, Warisan, GPS, GRS, MUDA dan UPKO.

“Mereka semua sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Kalau parti-parti ini semua kita boleh bekerjasama kenapa kita dalam UMNO sendiri tidak boleh?,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan yang disiarkan hari ini (9 April 2023).

Selain itu, beliau berkata UMNO tidak boleh berpecah kepada beberapa kluster lagi sehingga memberi kesan dalam pilihan raya umum. “Saya secara peribadi berpandangan UMNO tidak boleh ada situasi macam dulu. Ada kluster mahkamah, ada kluster Putrajaya atau kluster PWTC. “Kita sudah nampak kesannya apabila ada pelbagai kluster diantara kita ini menyebabkan kita semua bertambah lemah dan akhirnya kita kalah teruk sehingga hanya mampu mendapat 26 kerusi. “Pada saya, sebenarnya kita semua perlu belajar daripada kesilapan kita. Saya pun sama juga kena banyak berkorban untuk memastikan keharmonian dalam parti perlu diutamakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Johari turut mengingatkan bahawa parti yang bersengketa sesama sendiri tidak akan menjadi parti yang kuat dan parti yang tidak kuat tidak akan mendapat keputusan yang bagus dalam pilihan raya.

“UMNO parti besar tapi menang sikit. Ini berpunca kerana berdepan isu-isu dalam parti itu sendiri. Di samping itu, kita tidak boleh ada pemimpin pemimpin UMNO yang ‘membalun’ antara satu sama lain secara terbuka. Ia menggambarkan UMNO sebuah parti sentiasa bergolak. “Tak boleh siang malam balun sesama kita. Setiap pemimpin ada penyokongnya. “Penyokong jadi marah jika pemimpin mereka dibalun akhirnya memberi kesan pada kekuatan parti. Kalau ada perkara yang kita tak setuju boleh bawa dalam perbincangan tertutup. Jangan kita menuduh tak tentu pasal sesama sendiri,” katanya.


Agenda Daily


bottom of page