top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ahmad Bilal guna kaedah kempen lebih santai

11 NOVEMER 2021

MELAKA: Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin menggunakan kaedah kempen lebih santai tetapi selamat sebagai usaha mengelakkan orang ramai berhimpun.


Cara itu sebagai memastikan penularan wabak Covid-19 di negeri ini lebih terkawal.


Sejak hari pertama berkempen, beliau mempromosikan dirinya kepada pengundi DUN Serkam dengan menaiki kenderaan bersama seorang pemandu dan pembantunya.


Selain itu, Ahmad Bilal, 38, memperbanyakkan kempen di media sosial untuk memperkenalkan dirinya sebagai calon yang bertanding di DUN Serkam dan disebar luas menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram dan semua platform media yang ada.


“Saya tidak ada masalah untuk berkempen dalam suasana norma baharu kerana pengundi telah berada dalam suasana ini hampir dua tahun.


“Walaupun Serkam ini majoritinya adalah kawasan kampung tetapi untuk kempen atas talian, ia bukan perkara yang asing bagi pengundi di DUN Serkam ini,” tambah Ahmad Bilal.


Ahmad Bilal juga sangat dikenali penduduk kampung kerana sering terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan di sekitar DUN Serkam apatah lagi Serkam adalah tempat ia membesar.


“Saya sendiri anak jati di dalam kawasan DUN Serkam ini, kampung saya dan juga tempat saya bermain sejak kecil sahabat dan saudara mara. Semua ada di sini.


“Jadi sedikit sebanyak kita tahu dengan rintihan dan keluhan rakyat bawahan apa masalah yang berlaku.


“Kita akan cuba berusaha dengan baik bagi memastikan rakyat di bawah dapat kita tunaikan dengan sebaik yang mungkin,” ujarnya kepada Harakahdaily.


Ahmad Bilal menetapkan misinya kepada pengundi DUN Serkam untuk memberikan khidmat yang terbaik dan menyelesaikan masalah masyarakat di situ jika beliau diberi peluang menjadi wakil rakyat.


Ahmad Bilal pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di DUN yang sama berdepan tiga penjuru berbanding empat penjuru dalam PRN Melaka.


Beliau menganggap ia sebagai persaingan sihat kerana kebanyakan pesaingnya itu terdiri daripada anak tempatan di Serkam.


“Kita ada akar umbi yang cukup dengan tujuh peti undi yang ada. Kita ada cawangan melebihi daripada jumlah peti undi dalam DUN Serkam ini.


“Maknanya kita ada akar umbi yang kuat yang boleh beri penerangan di setiap lokaliti jadi tidak ada masalah bagi saya dengan norma baharu kerana ini pun perkara yang kita ambil beratkan melibatkan kesihatan awam ini.


Pada PRU14 lalu, Ahmad Bilal tewas kepada Datuk Zaidi Attan daripada Barisan Nasional dengan memperoleh 3,423 undi.

bottom of page