top of page
  • newsatmy

Ahmad Maslan: Pisang goreng atau pecal basi?

Mohamed Nizam Hassan

13 Januari 2021



Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin menganggap Ahmad Maslan bukanlah berfikiran seperti ‘pisang goreng’ namun lebih sesuai kalau dikatakan ‘pecal basi’ ketika mengulas kenyataan Ahmad yang dilihat seperti menghina dan memperlekehkan ketika ditunjukkan temu bual media dengan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju PRU diadakan kerana Covid-19.


Menurut A Kadir lagi, pisang goreng sangat digemari ramai dan sudah menjadi hidangan ikonik Nusantara. Berbanding dengan pecal basi jika dimakan sakit perut.


“Kalau Khairy sifatkan pemikiran Ahmad Maslan sebagai pecal basi lain ceritalah. Pecal sangat sedap. Tapi kalau basi amat mengecewakan orang yang meminatinya dan boleh menyebabkan cirit-birit," kata Kadir menerusi tulisan di dalam Facebook.


“Kita kena faham pasal apa otak YB Pontian lulusan Victoria University, Wellington, New Zealand ini jadi macam pecal basi. Harapan dia kalau PRU diadakan awal dan Umno/BN menang lepaslah dia daripada tuduhan”


Bagi Kadir, Ahmad Maslan ini mengaji saja di New Zealand tapi nampaknya dia tak belajar apa-apa yang baik daripada negara itu. Di New Zealand, menteri dan ahli politik buat salah sikit pun mereka cepat-cepat minta maaf dan letak jawatan.


Tapi mereka bukan Melayu-Islam macam Ahmad Maslan. Mereka kafir, bukan Melayu dan bukan orang Islam.


Terdahulu, Khairy Jamaluddin dari Umno juga mengkritik kenyataan Ahmad dan menggesanya tidak menggambarkan Umno kecewa dengan kerajaan PN kerana isu mahkamah.


Khairy berkata kenyataan itu memberi gambaran Umno ingin melihat berlaku campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman yang tidak sepatutnya berlaku dan kenyataan Ahmad Maslan itu diibaratkan seperti pemikiran pisang goreng dan tidak sepatutnya beliau seolah-olah bercakap mewakili parti.


Sebelum ini, Ahmad Maslan dikritik hebat ketika mengulas isu desakan parti Umno untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan membuat perbandingan di antara tukang parut kelapa dengan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).


Kenyataan Ahmad dianggap suatu kesombongan dan menghina pekerja biasa yang menolak idea agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih menyerang.


“Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temu bual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana COVID-19.


“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU... kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.


“Sabah itu kes tinggi pun punca mereka kerana orang-orang pulau naik motorbot mereka masuk tanpa saringan dan sebagainya. Itu antara punca saya difahamkan, dan ia merebak di pulau sekitar itu.


“Kita perlukan PRU kerana kerajaan ini juga merupakan kerajaan yang paling tipis (majoriti) di dunia. Kerusi parlimen ada 222, kalau nak jadi kerajaan kena ada 111 campur satu (kerusi) lagi minima. Ha... dan itu yang kerajaan Malaysia ada sekarang.


“Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot. Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat.”


Ahmad mendakwa salah satu sebab utama Umno tidak berpuas hati dengan kerajaan PN sebab langkah gabungan itu meneruskan kes mahkamah. Kes untuk Umno dan para pemimpinnya.


Ahmad menekankan faktor itu mengatasi faktor tidak puas hati ahli UMNO terhadap pengagihan jawatan yang sudah terasa. Ahmad memperlihatkan kes-kes tersebut merupakan kezaliman zaman PH.


Kes diteruskan di mahkamah maka kata Ahmad PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru supaya tiada lagi pendakwaan.


Ramai berpendapat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pimpinan tertinggi UMNO adalah lebih kepada ingin menyelamatkan diri masing-masing daripada dijatuhkan hukuman penjara dan denda setelah perbicaraan mereka selesai. Kebanyakan kes pendakwaan kes berprofil tinggi ini dijangka akan berakhir paling lewat Ogos ini.


bottom of page