Ahmad Said usah bermimpi di sing hari, BERSATU Terengganu terus kukuh
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Armada BERSATU Terengganu menegaskan parti di negeri itu masih kukuh biarpun terdapat laporan beberapa pimpinannya menyertai UMNO.
Ketuanya, Aziman Hadi Nazri berkata beberapa individu yang pada asalnya dari UMNO dan memasuki BERSATU kerana mempunyai agenda tersendiri.
“Perkara ini tidaklah mengejutkan kerana pihak ARMADA telah mengenalpasti beberapa individu seperti di Kemaman, ada individu yang dahulunya pernah memegang jawatan parti menyertai UMNO baru baru ini kerana telah kalah dalam pemilihan parti.
“Mereka mengambil keputusan untuk menyertai UMNO kerana kecewa tidak mendapat kedudukan atau jawatan di dalam BERSATU,” katanya.
Aziman juga menasihatkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak bermimpi di siang hari dengan menggambarkan seolah olah penyertaan individu yang tiada akar umbi itu sebagai satu kejayaan dan tanda penerimaan rakyat kembali kepada UMNO Terengganu.
Katanya, setiap kali tiba musim pilihan raya mulalah UMNO Terengganu mendendangkan retorik politik mereka yang tidak berkesudahan.
“Apa yang penting buat ARMADA Terengganu adalah untuk terus komited dalam objektif parti untuk menjadi parti alternatif yang memperjuangkan maruah politik Islam, Melayu dan Bumiputera.
“Rakyat tahu pemimpin atasan UMNO yang sebenarnya menyebabkan ketidakstabilan politik negara dikala rakyat sedang mengalami masalah kos sara hidup,” katanya.
Jelasnya, akar umbi BERSATU Terengganu adalah kukuh dan dalam keadaan bersiap siaga untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat.
“Kita dapat lihat Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Terengganu tempoh hari dihadiri lebih 20 ribu akar umbi dan ini menunjukkan Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang ditunjangi oleh PAS dan BERSATU, telah bersedia menghadapi PRU15,” katanya.
Comentarios