• newsatmy

Ain Edruce dapat anak perempuan

21 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara versatil, Ain Edruce selamat melahirkan anak perempuan pada jam 1.30 pagi semalam.

Bayi seberat 2.79 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Petaling Jaya.

Ain berkata, tekaan suami bahawa dia akan melahirkan anak perempuan tepat.

"Pada mulanya, Ain meneka bakal dapat anak lelaki. Suami pula menebak anak sulung kami perempuan. Ain selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.79 kilogram di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Petaling Jaya, pagi semalam.

"Nampaknya, tekaan suami betul. Biar apa pun, saya dan suami menyambut tanda cinta kami ini dengan penuh kesyukuran," katanya kepada BH Online. Isteri kepada ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa ini mengaku tidak sangka akhir dia bergelar ibu.

"Bila cakap saya sudah jadi ibu, terasa macam di awang-awangan. Semestinya saya dan suami mengharapkan rumah tangga diserikan dengan kehadiran cahaya mata sulung.

"Diharapkan tanggungjawab baharu ini dapat saya pikul sebaik mungkin... Insya-Allah.

"Syukur proses kelahiran anak sulung kami dipermudahkan," kata pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini.

Terdahulu, gelagat Ain berkongsi video di aplikasi TikTok sementara menanti kelahiran si comel mencuri tumpuan.

Andai wanita lain cemas menantikan detik kelahiran bayi, Ain yang dikenali dengan sikap selamba dan 'happy go lucky', sempat memuat naik video berkenaan.

Ain dan Amirul bernikah pada 13 Disember 2019.