top of page
Writer's pictureNihaba

Air: Kerajaan Pulau Pinang wajar fikirkan pengorbanan Kedah


SIK,2 Sept: Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga kini Kerajaan DAP Pulau Pinang masih enggan membayar royalti bekalan air mentah sebagaimana dituntut oleh Kedah. Bercakap ketika ditemui sebaik sahaja selesai majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-62 di Dewan Al-Hana di sini hari ini, ujarnya yang juga Timbalan Presiden PAS, Pulau Pinang wajar memikirkan pengorbanan Kedah memelihara hutan simpan semata-mata menjaga keaslian sumber air. “Walaupun tiada undang-undang yang termaktub agar Pulau Pinang perlu membayar royalti air mentah kepada Kedah namun pemimpin negeri itu perlu faham Kedah hilang sumber pendapatan dari hasil hutannya yang beribu hektar.


“Pengorbanan ini begitu besar dan sepatutnya negeri-negeri yang mengambil manfaat dari sumber airnya membayar imbuhan sebagai tanda terima kasih,” tegas beliau lagi.

Katanya, walaupun Pulau Pinang mengambil bekalan air daripada Sungai Muda di sebelah negerinya namun sumber air berkenaan datangnya dari Kedah.


Kedah juga, ujar Tuan Ibrahim mempunyai keperluannya sendiri seperti bekalan air untuk pertanian dan kegunaan harian namun dalam masa yang dama negeri itu terpaksa berkorban asetnya kepada pihak lain.

“Kalau mereka (Kedah) tebang hutan, ramai yang serang habis-habisan sedangkan hutan itu adalah sumber pendapatannya. Kedah korban hutan beribu-ribu hektar hutannya untuk orang lain,” tambahnya.


Beliau menegaskan, pihaknya telah dua kali bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk membincangkan hal ini namun hasilnya tetap sama.


Malah sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah memaklumkan pihaknya juga telah berkali-kali menuntut royalti bekalan air mentah sejumlah RM50 juta setahun daripada Kerajaan Pulau Pinang namun negeri itu masih enggan menunaikannya

Comments


bottom of page