• Arissa Azman

Air mata Shah Rukh Khan tumpah akhirnya, 25 hari menanti dalam debaran

31 OKTOBER 2021

MUMBAI: Aktor terkenal, Shah Rukh Khan tidak mampu menyembunyikan kegembiraan sebaik Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan ikat jamin ke atas anaknya, Aryan Khan.


Kerana tidak mampu mengawal perasaan itu juga, hero Bollywood kesayangan dunia itu menitiskan air mata kegembiraan selepas 25 hari anak sulungnya ditahan agensi narkotik India selepas didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


Berusia 23 tahun, Aryan Khan ditahan dalam keadaan penuh kontroversi bersama beberapa lagi orang oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) di Mumbai pada awal bulan ini.


Menurut peguam kanan yang dilantik Shah Rukh Khan, pelakon masyhur Bollywood yang bakal mencecah usia 56 tahun pada 2 November ini juga dilaporkan menulis nota memaklumkan kesediaannya untuk membantu pasukan guaman yang mengendalikan kes anaknya itu.


Penangkapan Aryan Khan mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa berikutan tercetus dakwaan manipulasi saksi, bukti palsu serta tuduhan cuba memeras berjuta dolar sebagai tebusan daripada superstar Bollywood itu.


Bahkan, seorang menteri kerajaan Maharashtra, Nawab Malik menuduh agensi dadah yang dikawal kerajaan Persekutuan, tidak mempunyai kes kukuh ke atas anak lelaki pelakon itu.

Media pula melaporkan, tiada sebarang dadah terlarang ditemukan pada Aryan.


Sementara Pendakwa Raya Anil Singh pula yang berhujah selama hampir sejam di mahkamah membantah permohonan ikat jamin dengan mendakwa: “Aryan Khan merupakan pengguna tetap dadah. Segala bukti yang dikumpul membuktikan dia sering dibekalkan dengan dadah.”