top of page
  • newsatmy

Air Selangor jangka gangguan air antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac, 6 April

25 Mac 2021

Sebanyak 89 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac dan 6 April depan.


Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam kenyataan, berkata ia berikutan kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.


Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan bekalan air yang berterusan dan ia sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).


"Kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates akan dilakukan jam 9 pagi 6 April, dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.


"Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.


"Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam akan dijalankan pada 30 Mac 2021 bermula jam 9 pagi yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.


"Kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 5 kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 12 kawasan di Wilayah Shah Alam," katanya.


Sementara itu, beliau berkata Air Selangor juga dalam perancangan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset utama di LRA Cheras Batu 11 pada 15 Jun, LRA Sungai Langat (6 Julai) dan LRA Sungai Selangor fasa 1 (5 Okt).


Walau bagaimanapun, pelaksanaan kerja-kerja berjadual ini tertakluk kepada kelulusan daripada SPAN.


Air Selangor akan memaklumkan senarai kawasan-kawasan yang terlibat dan jadual pemulihan bekalan air dengan lebih terperinci setelah kelulusan SPAN diperolehi. - AA

bottom of page