• newsatmy

AirAsia Indonesia, Capital A lancar laluan Jakarta-Silangit bagi menyokong pelancongan Danau Toba


DANAU TOBA,3 Sept: AirAsia Indonesia melancarkan penerbangan sulungnya dari Jakarta ke Silangit secara rasmi pada Jumaat yang bertujuan mengukuhkan sokongannya terhadap pembangunan penerbangan domestik dan pelancongan di republik itu.


Laluan penerbangan baharu itu mencerminkan perkongsian kukuh antara syarikat penerbangan itu, syarikat induknya, Capital A Bhd dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri, pelancongan dan kerajaan bagi menjadikan kewujudan Danau Toba sebagai tarikan pelancongan di peringkat global.


"Indonesia merupakan salah satu destinasi kami yang paling popular dan paling penting, justeru kami teruja kerana dapat memainkan peranan dalam menyokong dan mempromosikan destinasi yang luar biasa ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A ,Tan Sri Tony Fernandes.

Bercakap pada sidang akhbar Jumaat, beliau berkata Danau Toba merupakan salah satu destinasi paling utama di Indonesia yang juga sebahagian daripada Geopark UNESCO, memiliki potensi besar untuk menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

AirAsia Indonesia juga turut melancarkan slogan baharunya "Terbang Lagi Indonesia" untuk menandakan komitmennya terhadap memperkasakan komuniti dan pembangunan ekonomi di rantau ini.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Veranita Yosephine Sinaga berkata, kerjasamanya dengan Pihak Berkuasa Pelancongan Danau Toba dan sebuah perusahaan sosial, Tobatenun, akan mempromosikan lebih banyak produk pelancongan dan ekonomi kreatif serta terlibat dalam usaha membangunkan pendidikan dan memperkasakan masyarakat luar bandar, terutamanya di Danau Toba.


Penerbangan sulung itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada pukul 11.50 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit pada pukul 1.50 tengah hari.


Ketibaan pesawat itu disambut dengan upacara semburan air oleh PT Angkasa Pura II Lapangan Terbang Silangit.


AirAsia Indonesia menawarkan penerbangan tiga kali seminggu ke Jakarta-Silangit pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti 180 penumpang.

-- BERNAMA