• newsatmy

Ajak kahwin, tapi tak bersua

16 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Pernah digelar 'bintang porno', perubahan 360 darjah yang dilakukan penyanyi sensasi, Zizi Kirana, 35, bukan sahaja membahagiakan hati ibunya, malah mula mencuri perhatian sang jejaka.


Teguran ibu dengan mesej berjela-jela yang dihantar pernah membuatkan Zizi tersentak. Belum pernah seumur hidup, ibunya, Fatimah Kassim menegur soal berpakaian.


Namun, mesej diterima menimbulkan kesedaran kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Nak Ke Tak Nak dan Boleh Jalan itu, selain teguran ibunya bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Ibunya tidak pernah bersuara mengenai kemahuan diri, malah memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya selama ini.


Di sebalik perubahan drastik dilakukan, selain memadam foto seksi yang dimuatkan dalam laman sosial, Instagram (IG) bagi memenuhi permintaan ibunya, Zizi mendedahkan, ada beberapa lelaki menyatakan keinginan melakukan 'taaruf' sejak dirinya berubah imej.


Sambil tersenyum, Zizi menjelaskan, "Taaruf bermaksud berkenalan, tetapi tidak bersua muka. Sebaliknya, berkenalan menerusi orang tengah mungkin menerusi ahli keluarga.


"Ada beberapa jejaka menghantar mesej mahu mengenali saya lebih rapat menerusi taaruf. Bagaimanapun, ada risikonya berkenalan menerusi taaruf ini.


"Saya risau saya kena reda dengan sikap pasangan memandangkan tidak mengenalinya sebelum berkahwin. Bagaimanapun, ia bukannya bermakna saya menolak perkara baik dalam Islam. Ini kerana ia tidak membabitkan 'dating' sebelum memilih untuk mendirikan rumah tangga.


"Saya tidak menolak sekiranya ada lelaki yang benar-benar jujur untuk bertaaruf dengan saya. Dalam usia pertengahan 30-an, apa pilihan saya selain bersedia dengan ketentuan Allah."


Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil berkata, dia bersyukur perubahan positif yang dilakukan mendapat sokongan ramai.


Malah, Zizi berkata, hatinya terdetik mahu berubah selepas menyanyi dan mengalunkan selawat Qomarun atau Purnama bersama kumpulan UNIC. Ramai memberikan semangat dan berdoa dirinya terus istiqamah.


Perubahan drastik Zizi Kirana dengan memadam foto seksi yang dimuatkan dalam laman sosial, Instagram (IG) bagi memenuhi permintaan ibunya mendapat pujian ramai. - Foto IG Zizi Kirana


Katanya, dia mengharapkan kekal istiqamah, namun soal berhijab hanya berharap peminat terus mendoakan yang terbaik buatnya.


"Jujurnya, saya berdoa dan berharap sentiasa istiqamah serta ditetapkan hati untuk terus berada pada jalan yang baik, termasuklah berhijab.


"Ibu adalah insan paling gembira melihat perubahan saya. Dari dahulu, ibu tidak putus-putus berdoa agar saya berubah. Ibu juga berpesan, pakailah hijab jika hati sudah bersedia.


Bagaimanapun, berilah saya masa untuk berhijab. Saya sukar menjelaskan perasaan bersedia atau sebaliknya. Ini kerana saya percaya perasaan akan datang dengan sendiri. Jadi, doakan yang baik-baik untuk saya," katanya kepada B*POP.


Wanita kelahiran Semporna, Sabah itu berkata, masih ramai yang meninggalkan komen negatif di sebalik usahanya mahu menjadi anak yang lebih baik.


"Masih ada netizen meninggalkan komen negatif, tetapi saya tidak mengambil hati. Bagi yang melemparkan kata tidak baik, saya tetap mendoakan yang terbaik untuk mereka.


"Ada yang masih menghantar mesej nakal dan tidak berpuas hati. Mereka tidak suka melihat perubahan saya, ada yang suka melihat saya seksi. Ada juga yang masih menghantar gambar nakal, tetapi pengurus saya menerimanya kerana saya meletakkan nombor telefonnya di profil IG.


"Satu pun saya tidak balas, sebaliknya saya mendoakan yang baik-baik supaya mereka menghentikan melakukan perkara negatif kepada saya dan artis lain," katanya.


Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Zizi berkata, dia sibuk dengan rakaman lagu Ramadan dan Aidilfitri selepas selesai Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) yang akan bersiaran langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam ini.


"Saya sedang menyiapkan lagu runut bunyi bagi filem Marabahaya. Saya juga menyiapkan rakaman lagu Ramadan dan Aidilfitri. Lagu raya sudah siap, saya akan berduet dengan Faizal Tahir, manakala lagu Ramadan pula berkolaborasi dengan penyanyi lelaki yang sinonim dengan lagu ketuhanan.


"Selain itu, sebuah lagi projek untuk Ramadan di mana saya juga akan meneruskan menyanyi dan mengalunkan selawat bersama kumpulan UNIC. Sebelum ini, saya bersama UNIC melakukan untuk Maulidur Rasul," katanya.


Dalam perkembangan lain, Zizi berkata, dia tidak mengharapkan kemenangan bertanding di pentas AJL35 menerusi lagu Eh. Ini kerana diberikan peluang sebagai finalis sudah cukup membuatnya rasa dihargai selepas selepas lebih sedekad bergelar penyanyi.


"Saya berdoa diberikan kesihatan yang baik ketika membuat persembahan malam ini. Saya mahu berseronok bersama pasukan, tidak fikir soal kemenangan biarpun ada yang mengharapkan saya beroleh kejayaan.


"Apabila ada yang mengharapkan saya menang, ia umpama doa. Jadi, saya hanya mengucapkan 'Amin' untuk semua doa yang positif. Sebab itulah, saya berdoa agar sihat supaya peminat yang mendoakan kejayaan gembira menonton persembahan saya," katanya.


Zizi Kirana kali pertama diberi peluang membawakan watak utama menerusi drama arahan Datuk Seri Eizlan Yusof. - Foto IG Zizi Kirana


Bagaimanapun, katanya, dia berdebar memikirkan ini adalah kali pertama persembahan di pentas AJL.


"Orang kata AJL35 adalah penganjuran bersejarah kerana kali pertama bersiaran tanpa penonton. Ia juga bersejarah pada saya sebab kali pertama layak ke pentas prestij ini.

"Kelayakan saya diumumkan pada usia 35 tahun, seusia dengan penganjuran AJL membuatkan ia lebih bermakna.


"Ini adalah penantian saya selama 11 tahun bergelar penyanyi. Oleh itu, saya agak berdebar memandangkan bersaing dengan ramai penyanyi hebat dan banyak pengalaman.


"Sebagai persediaan, saya banyak bertanya pada penyanyi berpengalaman seperti Altimet, Aina Abdul dan Hael Husaini," katanya.


Mengulas kerjaya lakonan, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh dan D'Academy Asia itu berkata, dia akan kembali berlakon selepas kali terakhir menjayakan filem Hantu Bonceng pada 2011.


"Saya akan terus masuk set penggambaran drama 16 episod arahan Datuk Seri Eizlan Yusof selepas AJL35. Tajuk belum boleh dikongsi, bagaimanapun bergenre misteri, aksi dan komedi.


"Ini juga kali pertama saya diberikan peluang membawakan watak utama. Saya berdebar disebabkan sudah lama tidak berlakon. Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran lakonan, tetapi saya belum bersedia.


"Saya tidak mahu menyusahkan produksi kerana saya bukan pelakon yang baik. Saya bimbang tidak boleh menjayakan karakter dengan baik. Namun, sudah tiba masanya untuk saya belajar," katanya.


-Berita Harian

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.