top of page
  • newsatmy

Akar umbi Amanah: Hormati musyawarah

Updated: Nov 30, 2020

Anwar tidak mahu menolak insentif baru yang diumumkan namun berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa, ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.



Rentetan kekeliruan yang timbul Ketika pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021, sebilangan pemimpin akar umbi Amanah hari ini menolak apa yang disifatkan mereka sebagai keputusan sepihak ketika pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021, pada 26 Nov lalu.


Melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 55 pemimpin Amanah di pelbagai negeri, mereka menyifatkan keputusan "unilateral dan luar mesyuarat" itu menunjukkan tiadanya sikap hormat kepada keputusan musyawarah dan majoriti yang dipersetujui.


“Tindakan ini telah mencalarkan reputasi PH selaku kerajaan yang diundi oleh rakyat pada PRU14.


“Kami juga ingin menegaskan pimpinan Amanah serta PH wajib berpegang kepada prinsip serta disiplin berorganisasi dan keputusan mesyuarat,” menurut kenyataan bersama itu.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, tetapi kenyataan itu dilihat merujuk keputusan saat akhir yang dibuat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim agar ahli Parlimen PH tidak meminta undi belah bahagi dilakukan.


Keputusan itu diibaratkan memakan diri apabila majoriti ahli dewan rakyat menyokong sehingga pengundian itu dilihat berpihak kepada kerajaan yang diterajui oleh Perikatan Nasional dan implikasinya, rasa tidak puas hati dan kritikan daripada pihak dalam PH sendiri berlaku.


Susulan kritikan yang berterusan, Ketua Parlimen DAP Anthony Loke memohon maaf kepada penyokong dan ahli parti itu, malah tiga ahli Parlimen PKR sendiri, iaitu Akmal Nasir, Nurul Izzah Anwar dan Hassan Karim menyifatkan arahan itu sebagai mengecewakan.


Di sebalik arahan yang dikeluarkan, sejumlah ahli Parlimen Amanah bangun menyokong undi belah bahagi dibuat. Malah permintaan itu dimulakan oleh ahli Parlimen parti itu, iaitu Mahfuz Omar.


Mereka ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Hatta Ramli (Lumut), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hanipa Maidin (Sepang).


Ahli Parlimen lain yang turut menyokong ialah Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun), Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), Shahruddin Md salleh (Pejuang-Sri Gading), Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang), Baru Bian (PSB-Selangau) dan Mordi Bimol (DAP-Mas Gading).


bottom of page