top of page
cik skod

Aksi ludah penyanyi kumpulan hujan tular di media sosial


PETALING JAYA,3 OKT: Pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad menafikan dakwaan kononnya vokalisnya, Noh Salleh meludah ke arah penonton ketika membuat persembahan dalam sebuah festival muzik, kelmarin.


Jelas Ahmad Ariffin, jarak antara pentas dan penonton dipisahkan besi penghadang dan tidak mungkin ludah itu terkena penonton yang hadir.


“Sebenarnya Noh berhadapan isu teknikal apabila mikrofon yang dipegang mengalami masalah. Dia meletakkan mikrofon tersebut dekat mulut, sekali gus terkena sedikit renjatan elektrik.


“Jadi, wajahnya ketika itu dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Dia terpaksa meludah dari atas pentas untuk mengelakkan rasa sakit.


“Jarak antara penonton dan pentas agak jauh, jadi sukar untuk kena. Tetapi, kalau ada tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana itu tidak disengajakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Rakaman aksi ludah Noh dari atas pentas tular di media sosial dan mendapat kecaman warganet yang mempersoalkan kesihatan mental vokalis Hujan itu.

Malah, ada segelintir pihak yang meminta agar penyanyi Angin Kencang itu melakukan pemeriksaan air kencing selepas ramai yang khuatir dengan tindakannya itu.

Dalam pada itu, Ahmad Ariffin turut menjelaskan, keadaan dewan yang panas menyebabkan Noh berpeluh kuat sehingga rambutnya kelihatan seperti tidak terurus dan kusut masai.


“Kalau nak cakap Noh serabut itu, mungkin sebab kami sedang dalam persiapan Konsert Hujan Rumah Kita, November nanti. Tetapi, terima kasih kepada yang prihatin dan mohon doakan kami.

“Dengan lambakan konsert sekarang, kami sedang rancak memikirkan strategi penjualan konsert dan merencana supaya konsert itu berjalan lancar,” katanya.

Comments


bottom of page