top of page
  • cik skod

Akui promosi SUKMA 2022 langkah kiri, namun rakyat tetap dahagakan aksi atlet - Ahmad Faizal


KUALA LUMPUR,17 Sept: Biarpun promosi berkaitan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) MSN ke-20 tidak begitu hebat, hingga ada yang menganggap ia bermula dengan ‘langkah kiri’, namun Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis ia akan bertambah baik.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau yakin kemeriahan temasya sukan yang berlangsung antara 16 hingga 24 Sept ini, dijangka akan lebih terasa selepas acara perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.


Ahmad Faizal berkata, secara peribadi beliau melihat keterujaan rakyat Malaysia terhadap temasya itu jelas tinggi, selepas menyaksikan stadium tempat beberapa acara berlangsung, dipenuhi peminat sukan tanah air.

“Selepas perasmian oleh PM, saya jangka ia akan bertambah baik, namun saya tetap bersyukur kerana walaupun empat tahun tak ada, dianjurkan semula dan kita telah buat keputusan untuk naikkan had umur 21 ke 23 tahun, kita nampak para atlit lebih bersedia, dan lebih teruja untuk bertanding.


“Selain itu yang mengagumkan saya, walaupun saya akui kurang promosi, tetapi saya telah melihat sempena cuti Hari Malaysia, stadium begitu penuh, malah amat teruja. Contoh di pertandingan wushu, kita lihat begitu ramai penonton tanpa kira bangsa. Ia begitu mengujakan saya,” katanya kepada Astro AWANI.


Bernama sebelum ini melaporkan, acara bola sepak sudah bermula sejak Isnin, malah berbasikal lebuh raya di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan dan wusyu di Bukit Jalil telah mempertandingkan acara berpingat pada Rabu.


Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur kali ini, lebih mementingkan penganjuran pertandingan untuk memberi peluang kepada atlet di peringkat negeri bersaing dan mengetengahkan bakat mereka, berbanding penganjuran yang meriah.


Had umur Sukma kali ini juga diberikan pengecualian atas faktor Sukma khas kerana temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 kerana pandemik.


Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, biarpun kali terakhir dianjurkan pada empat tahun lepas, ekoran terkesan dengan pandemik COVID-19, persiapan dan persembahan atlet pada pandangan beliau tetap memperlihatkan prestasi yang tinggi.


“Saya lihat kalau kita lihat pencapaian ratu dan raja pecut negara petang tadi (Jumaat), masa yang dicatatkan begitu pantas, malah pemenang pingat perak dan gangsa tidak kurang hebatnya.

“Saya fikir prestasi atlit yang diperlihatkan setakat ini mengagumkan, termasuk perlawanan bola sepak saya lihat kualitinya amat mengagumkan,” katanya lagi.


Dalam pada itu Bernama melaporkan, sebanyak 31 jenis sukan dipertandingkan pada temasya kali ini, melibatkan 426 pingat emas iaitu 223 dalam acara lelaki, wanita (184) dan campuran (19) yang menjadi buruan kontinjen yang mewakili semua negeri, Wilayah Persekutuan serta Brunei sebagai kontinjen jemputan.


Hampir 9,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen mengesahkan penyertaan untuk temasya itu kali ini. Kebanyakan venue melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang - Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam manakala pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi

.

“Edisi Sukma ini sepatutnya diadakan di Johor dua tahun lepas, namun ditangguhkan berikutan penularan COVID-19. Ia kembali direncana untuk diadakan tahun ini, namun Johor memohon penangguhan penganjuran sukan berkenaan ke 2024,” menurut artikel itu lagi.


Astro Awani


bottom of page