• newsatmy

Alahai… Masih Ada Yang Tak Reti Bahasa Dan Buat-Buat Tak Faham

WAN SAIFUL WAN JAN

Ketua Penerangan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)



Macam-macam karenah yang dipamerkan melalui kata-kata yang dilemparkan oleh segelintir ahli politik dalam isu PKP, Proklamasi Darurat, pengumuman insentif berbilion ringgit PERMAI, usaha memerangi Covid-19 dan beberapa isu lain yang tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas.


Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin serba serbi tidak kena dimata mereka. Semuanya salah.


Proklamasi Darurat pun dituduh tak betul dan tidak mengikut asas perlembagaan walaupun dipersetujui dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong setelah baginda sendiri mempertimbangkannya dari pelbagai sudut.


Usaha dan cara memerangi Covid-19 juga didakwa tidak berkesan dan dituduh tidak betul.


Dengan kata lain dan kata mudah, orang yang buat tuduhan itu sahajalah yang betul dan yang bagus. Selainnya adalah tidak layak dan salah dalam setiap tindakan yang dibuat.


Tetapi tanpa kita sedari, rakyat bosan, penat dan letih apabila berkali-kali golongan ini mewujudkan rasa meluat rakyat dengan tuduhan yang lebih bermotifkan politik sebegini.


Rakyat melihat golongan berkenaan hanya mahukan jawatan, kepentingan diri dan kuasa.


Sepatutnya segelintir mereka yang terbabit ini memikirkan cara membantu, mencari jalan penyelesaian dan sama-sama turun padang membantu rakyat.


Adalah lebih baik untuk bantu rakyat daripada berterusan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas. Ia membayangkan seolah-olah orang lain tidak pernah betul dan dia saja yang tidak pernah salah.


Sedarkah kita bahawa membantu rakyat itu besar pahalanya di sisi Allah SWT? Pahala dari Allah SWT itu lebih besar berbanding perebutan jawatan dan kuasa.


Jawatan dan kuasa itu tidak lari ke mana pun. Tunggu sahajalah pilihan raya umum. Cepat atau lambat pilihan raya, ia akan tetap diadakan juga. Bila tiba masanya bertandinglah walaupun lebih daripada satu kerusi.


Kadang-kadang terfikir dibenak minda, kenapa mereka ini yang dikhabarkan sang juara rakyat tidak sanggup menunggu PRU sebaliknya begitu terdesak inginkan PRU dipercepatkan. Ada udang disebalik batu ke?


Rasa-rasanya rakyat marhaen sudah dapat meneka agenda sulit mereka. Tepuk dada tanya selera.


Segelintir yang buat tuduhan itu rasa-rasanya memang sudah tidak boleh diubah fikiran mereka walaupun dengan fakta kebenaran.


Dengan kata lain walaupun kain itu jelas sekali berwarna putih namun mereka ini tetap mengatakan ia hitam.


Walaupun berbuih mulut kita berikan penjelasan namun semuanya boleh diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi, tidak ada gunanya dan sia-sia belaka.


Bagi saya, kita mesti kekal istiqamah membela nasib rakyat dan menjana ekonomi negara.


Akhirnya nanti rakyat akan menjadi hakim siapa yang membela mereka dan siapa yang mementingkan diri.


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.